725 kes COVID-19 di Sarawak, 580 daripadanya tidak bergejala
KUCHING: Sebanyak 725 kes positif baharu direkodkan di Sarawak hari ini dengan 580 daripada kes baharu yang dilaporkan adalah kategori satu tidak bergejala.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata 143 kes lagi merupakan kategori 2 dengan gejala ringan dan masing-masing satu kes kategori 3 (jangkitan paru-paru) dan kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.
“Kuching kekal merekodkan kes jangkitan harian tertinggi 358 kes diikuti Serian (105), Samarahan (63), Bau (45), Sibu (25), Bintulu (19), Simunjan (19), Tatau (16), Kabong (14), Tebedu (13) dan Sri Aman (11).
“Lain-lain kes dikesan di Lundu (8), Miri (6), Asajaya (4), Betong (4), Mukah (2), Kapit (2), Pusa (2), Selangau (2), Sarikei (1), Kanowit (1), Dalat (1), Saratok (1), Beluru (1), Song (1) dan Julau (1) menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak kini 86,043,” katanya.
JPBNS turut memaklumkan terdapat tiga kes kematian akibat COVID-19 menjadikan jumlah kes kematian kini meningkat kepada seramai 482 orang.
Kes kematian ini katanya melibatkan seorang lelaki dan dua perempuan berumur antara 49 hingga 87 tahun.
Dua daripada kes dilaporkan meninggal di Hospital Umum Sarawak manakala satu lagi kematian dilaporkan di Hospital Sarikei.
Dalam pada itu terdapat 746 kes pulih dan dibenar discaj menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di Sarawak kini seramai 77,336 orang daripada keseluruhan kes positif di negeri ini.
Sebanyak 8,043 kes masih aktif dan mendapat rawatan dan diasingkan di wad hospital serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah COVID-19 (PKRC).
utusanborneo.com.my/2021/08/14
|