Polis buru ‘lanun’ e-dagang
KUCHING: Polis sedang mengesan seramai 26 individu yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan e-dagang menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, Michat, Wechat, Mudah.com, Carousell, Lazada, Shopee dan lain-lain.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner (ACP) Ashmon Bajah berkata pasukan siasatan khas bagi kes penipuan ini telah diaktifkan namun sehingga kini masih gagal mengesan kesemua suspek.
“Kesemua suspek adalah orang tempatan, mereka sudah dikenal pasti tetapi setakat ini, tiada tangkapan.
“Mereka tidak berada di Kuching atau Sarawak tetapi dipercayai berada di luar negeri dan luar negara namun kita tetap akan memburu mereka sehingga dapat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, hari ini.
Menurutnya, penangkapan kesemua suspek terbabit amat penting bagi merungkai kegiatan berkenaan, sama ada ia dijalankan secara individu atau sindiket. Ahsmon berkata modus operandi yang digunakan adalah dengan menawarkan harga istimewa khususnya bagi barangan seperti telefon bimbit, komputer, barangan berjenama dan barangan kemas.
Katanya kegiatan ini paling ketara dikesan menggunakan iklan di Facebook, selain mempergunakan platform e-dagang berdaftar yang lain seperti Shopee. “Kita dapat melihat banyak iklan di Facebook yang memberikan tawaran harga menarik, misalnya diskaun sehingga 70 peratus bagi seutas rantai emas. “Manakala di Shopee, suspek pada awal menjalankan urus niaga yang baik untuk mendapatkan keyakinan Shopee tetapi selepas itu, mereka mula menjalankan kegiatan penipuan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua suspek agar menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559.
Katanya identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
suarasarawak.my
|