Lelaki ditemui mati di bilik hotel
Polis menjalankan siasatan mengenai kematian mangsa di tempat kejadian.SIBU: Seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Channel di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihak polis yang menerima panggilan daripada penjaga kaunter hotel pada jam 8.50 pagi itu memaklumkan seorang lelaki yang menginap di bilik 105 didapati tidak sedarkan diri.
"Si mati dikenali sebagai Bawet Agong, 47, dan masih bujang berasal dari Rumah Tunggang, Jalan Kemuyang, Pasai Bon, ditemui oleh seorang tukang cuci wanita terbaring dalam keadaan tanpa pakaian dan tidak sedarkan diri di atas katil bilik hotel berkenaan pada jam 8.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, lelaki itu telah mendaftar masuk di bilik hotel pada 7 Ogos dan melanjutkan tempoh sewa bilik sehingga 10 Ogos.
"Siasatan awal polis dengan seorang saksi memberitahu dia telah menggunakan kunci pendua hotel untuk membuka pintu bilik tersebut selepas si mati tidak menjawab dan membuka pintu apabila dipanggil.
Katanya, pemeriksaan lanjut pihak polis di tempat kejadian mendapati tiada kesan pergelutan atau unsur jenayah dikaitkan dengan kes tersebut.
Pihak ambulans yang berada di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian lelaki itu pada jam 9.37 pagi.
Susulan itu, pihak polis telah memaklumkan ahli keluarga si mati mengenai penemuan mayat tersebut.
Menurut abang si mati, adiknya tidak bekerja dan sering meminta sedekah di sekitar Pasar Sentral.
"Si mati pernah mengadu sakit dada kepada abangnya dipercayai kesan minuman keras sebelum ini tetapi tidak menerima sebarang rawatan," jelasnya lanjut.
Mayat dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan punca kematian masih dalam siasatan.
"Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut," tambah beliau.
utusanborneo.com.my/2021/08/11
|