Edited by Vellfire at 8-8-2021 11:20 AM
Lelaki 'naik hantu' diberkas di Katibas
Struktur rumah yang dibakar suspek kerana tidak berpuas hati orang lain tinggal di rumah bapanya yang telah meninggal dunia.
SONG: Seorang lelaki 'naik hantu' bertindak mengugut hendak membunuh, melakukan khianat membakar rumah dan melepaskan tembakan, dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan individu tinggal di rumah bapanya yang telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Song, DSP Rowney Michael Jalak berkata, dalam kejadian di sebuah rumah panjang, Nanga Tengadak, Katibas, sekitar jam 6.20 petang Sabtu, mangsa, 77, bersama anak lelakinya, 22, didatangi suspek membawa pisau dalam keadaan marah sambil mengugut hendak membunuh anak mangsa.
Katanya, anak mangsa yang ketakutan lari masuk ke dalam rumah untuk bersembunyi dan menutup pintu.
"Suspek balik ke rumahnya dan datang semula ke rumah mangsa membawa sebilah lembing sambil berteriak di hadapan rumah mangsa menyuruh anak mangsa keluar.
"Suspek tidak puas hati anak mangsa tidak keluar dari rumah, suspek bertindak melonggokkan kayu di tepi dinding sebelah kanan rumah mangsa dan membakar kayu tersebut dengan minyak petrol di dalam bekas minyak enjin sangkut milik mangsa.
"Akibat kejadian itu, menyebabkan api merebak hingga membakar seluruh rumah mangsa dan api merebak ke rumah jiran menyebabkan hampir separuh musnah terbakar.
"Pada masa itu, mangsa telah melarikan diri dan bersembunyi di semak berdekatan dan nampak suspek datang semula membawa selaras senapang patah dan melepaskan tembakan ke udara,” jelasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, suspek berusia 42 tahun itu telah ditahan dan polis turut merampas selaras senapang patah, sebilah lembing dan sebilah pisau.
"Siasatan mendapati punca kejadian dipercayai kerana suspek tidak puas hati mangsa tinggal di rumah milik bapanya yang telah meninggal dunia.
"Perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa tiga jam menggunakan jalan balak dari Balai Polis Song.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 506/435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” tegasnya.
utusanborneo.com.my/2021/08/08
|