Peniaga digalak hanya benarkan individu ambil vaksin masuki premis perniagaan
MUKAH: Peniaga di sekitar Balingian dan Mukah digalakkan untuk hanya benarkan individu yang telah mengambil suntikan imunisasi COVID-19 untuk memasuki premis perniagaan mereka.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, ia dilihat satu inisiatif positif dalam menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat.
"Saya lihat perkara ini dari aspek positif dimana ia dapat membantu seruan kerajaan dalam mengambil suntikan imunisasi COVID-19," katanya kepada Utusan Borneo.
Ia satu galakan yang secara tidak langsung namun boleh memberikan kesan baik kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Seperti diketahui katanya, ada individu yang layak divaksin dan mahu mengambilnya, namun ada juga disebaliknya.
Lebih baik jika seseorang itu layak divaksin dan mereka sepatutnya mengambilnya demi keselamatan diri dan juga komuniti setempat.
Imunisasi secara berkelompok adalah amat penting dalam memastikan rangkaian jangkitan dapat diputuskan sekali gus tidak merebak dengan lebih teruk, katanya lagi.
Namun, pengecualian pengambilan vaksin ke atas individu yang memang tidak layak atau tidak dapat divaksin adalah dimaafkan.
Bagi mereka yang tidak dapat divaksin ini, adalah menjadi satu tugas penting yang tidak disedari oleh mereka yang telah dan dapat mengambil suntikan imunisasi.
Setakat ini, beberapa inisiatif seumpama diambil oleh pihak berkuasa tempatan dalam usaha menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan penduduk.
utusanborneo.com.my/2021/08/08
|