Satu lagi kluster baharu diisytiharkan di Sarawak
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan satu kluster baharu melibatkan kluster komuniti di Selangau hari ini, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Menurutnya, kluster itu adalah Kluster Sungai Serindak, Selangau yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang yang terletak di Kilometer 98, Jalan Sibu-Bintulu, Sungai Serindak, Selangau.
“Seramai 35 orang telah disaring dengan 19 orang didapati positif termasuk kes indeks dan 16 individu didapati negatif.
“Daripada jumlah itu juga, seramai sembilan kes baharu dilaporkan hari ini dengan kesemua mereka yang terlibat dalam kluster ini telah ditempatkan di Hospital Sibu dan PKRC di daerah Sibu,” kata Jawatankuasa itu hari ini.
JPBNS turut memaklumkan tiga kluster telah ditamatkan iaitu Kluster Nyelutong, Betong; Kluster Jalan Sagang, Bau dan Kluster 35 Bintulu, Bintulu hari ini.
Penamatan ketiga-tiga kluster itu dibuat berikutan tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas
“Susulan itu, jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak ialah sebanyak 83 kluster dengan 11 kluster mencatatkan penambahan 60 kes baharu.
“Manakala 72 kluster lagi tidak merekodkan penambahan kes baharu,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/07
|