View: 1003|Reply: 1
|
Madinda buat pusingan U
[Copy link]
|
|
Kota Kinabalu: Levy Madinda sebelum ini mungkin sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah Football Club (FC), namun, hari ini, beliau 'menarik balik' ucapannya itu apabila membuat keputusan untuk kekal bersama pasukan berkenaan.
Malah, pemain tengah berusia 29 tahun daripada Gabon itu dijangka bakal beraksi apabila Sabah FC melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC, di Stadium Likas, malam ini.
Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, kontrak Madinda sepatutnya berakhir pada 31 Julai lalu namun kemudiannya dipersetujui untuk dilanjutkan sehingga akhir musim ini atau 'option' sehingga 1 Mei 2022.
Sebelum ini, kontrak Madinda tidak dapat dimuktamadkan sama ada disambung atau sebaliknya berikutan beliau menghadapi masalah keluarga.
"Sudah lapan bulan Madinda tidak bersama keluarga serta kebetulan isterinya baru menjalani pembedahan. Inilah menjadi punca utama mengapa beliau mahu memilih pulang untuk bersama-sama isterinya.
"Sebelum ini juga, Madinda tidak dapat bersama dengan keluarganya sejak bermain di Liga Turki sebelum mengikat kontrak dengan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super 2021," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Marzuki berkata ketika ini keadaan isteri Madinda semakin stabil manakala pihak pengurusan juga bersetuju untuk menguruskan agar isteri beliau dibawa ke Sabah dalam tempoh terdekat.
"Kita masih memerlukan khidmatnya, lagi pun Madinda juga sebenarnya masih mahu bermain dengan Sabah FC dan turut bersama-sama pasukan ke Kuala Terengganu tempoh hari," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sebelum ini telah menyebabkan keluarganya tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia.
Katanya, berita itu diharap dapat menggembirakan semula penyokong dan peminat Sabah FC untuk memberikan saingan sekali gus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.
Baru-baru ini, Facebook rasmi Sabah FC turut memuat naik gambar Madinda sambil menyatakan ucapan terima kasih kepada pemain berusia 29 tahun itu.
"Sabah FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada @levymadinda7 di atas sumbangan beliau kepada pasukan Sabah FC musim ini," kata hantaran itu.
Selain itu, Madinda menerusi akaun Instagram beliau turut memuat naik gambar-gambarnya ketika beraksi bersama skuad Badak sambil menyatakan tidak lagi akan beraksi bersama skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu.
sumber : HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
Marzuki (kanan) menyerahkan kontrak baharu kepada Madinda di pejabat Sabah FC, hari ini. FOTO Sabah FC |
|
|
|
|
|
|
| |
|