Sejarah Jambatan Kota di Kota Tinggi Sejak pembinaan jambatan sekitar 1930-an, ekonomi dan pembangunan Kota Tinggi berkembang maju
BANDAR Kota Tinggi yang dikenali sebagai Bandar Pelancongan Bersejarah, pernah menjadi ibu negeri kerajaan Johor Lama kira-kira 400 tahun lalu.
Bandar yang unik dan menarik itu menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah termasuk tinggalan bangunan lama, makam diraja, kota pertahanan dan peristiwa bersejarah, selain jambatan paling penting yang merintangi Sungai Johor di tengah-tengah bandar berkenaan.
Seperti bandar utama lain dunia, kebanyakan pusat bandar dipisahkan, dikelilingi atau disempadani oleh sungai, begitu juga bandar Kota Tinggi, pusat bandarnya dipisahkan Sungai Johor yang dicantumkan dengan 'Jambatan Kota'.
Sungai Johor adalah sungai yang menjadi laluan utama peniaga dan pedagang sejak pemerintahan Sultan Johor Kedua, Sultan Alauddin Riayat Syah pada 1528. Pada mulanya sungai itu digunakan baginda untuk memudik ke Pekan Tua sehinggalah ia menjadi laluan utama dan menjadi sibuk ketika kerajaan British bertapak di Kota Tinggi selepas membina balai polis pada 1819.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Kawasan Kota Tinggi, Mustafa Abu Bakar, 64, berkata penduduk ketika itu berurusan menggunakan sampan dan bot.
Bagaimanapun, katanya sekitar 1930-an, sebuah jambatan buat kali pertama dibina menghubungkan kedua-dua belah tebing Sungai Johor untuk menghubungkan pusat bandar dengan kawasan perkampungan menghala ke arah Johor Bahru.
Melalui jambatan itu, katanya penempatan di sebelah bandar dan pesisir sungai seperti Kampung Makam, Kampung Kelantan, Kampung Panti dan Kampung Jawa dapat berhubung lebih mudah ke kawasan arah sebelah balai polis, termasuk ke Kampung Tembioh, Kampung Seri Lalang dan Kampung Batu 25.
Beliau berkata, pembinaan jambatan itu juga, hari demi hari menamatkan era penggunaan perahu dan sampan kecil untuk menyeberangi sungai itu saban hari.
"Sejak pembinaan jambatan bertentangan balai polis sekitar 1930-an, ekonomi dan pembangunan bandar ini turut berkembang maju," katanya.
Beliau berkata, sehingga ke hari ini, tiada satu pun nama khusus diberikan kepada jambatan itu, namun, penduduk bandar ini sudah biasa menyebut dan menggelarnya sebagai Jambatan Kota.
Dari segi sejarah pembinaan, jambatan itu dibina kerajaan British berasaskan besi, sekali gus membolehkan kenderaan berat termasuk kenderaan berat tentera British melaluinya.
Selepas kira-kira 10 tahun digunakan, British mengebom jambatan itu bagi menghalang kemaraan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada Disember 1941. Tentera Jepun dijangka melalui bandar Kota Tinggi untuk mara ke Johor Bahru dan Singapura.
Bagaimanapun, andaian British itu meleset apabila tentera Jepun melalui pekan Endau, Mersing kemudian terus ke Johor Bahru dan tidak memasuki Kota Tinggi. Oleh itu, tindakan British mengebom jambatan adalah satu kesilapan.
Pada zaman pemerintahan Jepun, mereka membina jambatan sementara pada Februari 1941 yang jambatan berasaskan besi terapung. Ia berlantaikan papan serta tong minyak dan hanya boleh digunakan untuk laluan pejalan kaki dan basikal saja.
Ketika British kembali memerintah, mereka mendirikan jambatan kayu dan digunakan hingga 1961. Selama kira-kira 15 tahun, jambatan kayu itu menjadi penghubung penduduk di antara kedua belah pinggir sungai dan menjadi nadi penghubung penting menjana kemajuan bandar Kota Tinggi.
Bagaimanapun, pada 1962, jambatan kayu dirobohkan dan digantikan dengan jambatan konkrit yang pembinaannya siap pada 1963.
|