Diskaun bil elektrik dan air dilanjutkan sehingga Disember 2021
KUCHING: Diskaun bil elektrik dan diskaun bil air yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 28 Mei lalu di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 akan dilanjutkan sehingga Disember 2021.
Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia susulan kerajaan mengambil kira semakin banyak isi rumah menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan asas masing-masing termasuk membayar bil utiliti.
“Bagi bekalan elektrik, rakyat layak mendapat potongan harga antara 5 hingga 25 peratus di bawah pakej BKSS dan akan memberikan manfaat kepada 647,000 pelanggan dari sektor domestik, komersial dan perindustrian
“Sementara itu bagi bekalan air, rakyat berhak mendapat potongan harga antara 10 hingga 25 peratus dari bil air mereka dan ia akan memberi manfaat kepada hampir 647,000 pelanggan kediaman, komersial, dan industri,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Dr Rundi berkata, diskaun bagi bil air berjumlah RM32.1 juta dalam tempoh dari Julai hingga Disember tahun ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
Diskaun bekalan elektrik pula katanya, menelan belanja Kerajaan Sarawak sekitar RM166.8 juta dalam tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember tahun ini.
“Diskaun itu juga dijangka akan menelan belanja sekitar setengah bilion ringgit (RM583 juta) secara keseluruhan sejak pertama kali diperkenalkan pada April 2020 untuk tempoh hingga Disember 2021,” ujar Dr Rundi.
Beliau juga memaklumkan bahawa pelanggan yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar bil boleh menggunakan rancangan pembayaran fleksibel Sarawak Energy untuk pembayaran bulanan lebih berpatutan.
Dalam pada itu, Dr Rundi berkata pihaknya akan terus memastikan rakyat Sarawak mendapat manfaat daripada struktur tarif cekap, adil dan saksama yang diberikan kepada pelanggan dan ia sekaligus mencerminkan kos sebenar penawaran kepada pelbagai kumpulan pelanggan.
“Kerajaan Sarawak terus mendahulukan rakyat dengan menumpukan perhatian pada usaha meringankan beban ekonomi rakyat dalam tempoh yang mencabar akibat pandemik COVID-19, terutamanya bagi mereka yang sangat memerlukan bantuan,” ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/08/03
|