Edited by Vellfire at 3-8-2021 01:54 PM
Dua kluster tempat kerja antara tiga kluster dikesan di Sarawak
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan tiga kluster baharu dengan satu masing-masing melibatkan kawasan Kuching, Subis dan Bintulu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, tiga kluster itu ialah Kluster Pasar Stutong 2; Kluster Mega Suai dan Kluster Jalan Kemena Industry Estate 38.
Mengenai Kluster Pasar Stutong 2 katanya, ia merupakan kluster pasar yang dikesan di sebuah pasar besar komuniti di Jalan Stutong, Tabuan Jaya di sini.
“Seramai 140 orang telah disaring dengan 51 orang didapati positif termasuk kes indeks
dan 89 individu didapati negatif.
“Kesemua mereka yang terlibat dalam kluster ini telah ditempatkan di Hospital Umum Sarawak dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di daerah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kluster Mega Suai katanya, merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan di sebuah ladang kelapa sawit di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam Daerah Subis.
Ujarnya, seramai 351 orang disaring dengan 24 orang didapati positif termasuk kes indeks dan 327 individu masih menunggu keputusan. “Manakala 23 kes baharu dilaporkan hari ini dengan kesemuanya ditempatkan di Hospital Miri dan PKRC di daerah Miri, katanya.
Sementara Kluster Jalan Kemena Industry Estate 38 pula, Jawatankuasa berkata, ia merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan kuarters pekerja sebuah kilang papan lapis di bawah PKPD di kawasan Estet Perindustrian Kemena, Jalan Tanjung Kidurong Bintulu.
Katanya, seramai 85 orang disaring dengan 17 orang didapati positif termasuk kes indeks dan 68 individu masih menunggu keputusan. “Manakala 16 kes baharu pula dilaporkan hari ini dengan kesemuanya ditempatkan di Hospital Bintuu dan PKRC di daerah Bintulu,” katanya. JPBNS turut memaklumkan penamatan satu kluster iaitu Kluster Jalan Tasik Biru By-Pass, Bau berikutan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari lepas.
“Jumlah kluster masih aktif adalah sebanyak 84 dimana lapan daripadanya merekodkan penambahan 81 kes baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa berkata, daerah Selangau telah bertukar ke status jingga daripada kuning hari ini.
Perubahan itu berlaku setelah merekodkan 22 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus jingga sebanyak lapan, sembilan daerah berstatus kuning, 17 daerah berstatus merah dan enam daerah berstatus hijau,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/03
|