|
Gementar hari pertama penggambaran
ALIA bakal bergandingan dengan Ranveer Singh. - FOTO Google
GARA-GARA sudah lama tidak beraksi di depan kamera, pelakon Alia Bhatt tidak boleh tidur malam memikirkan tanggungjawab yang bakal digalasnya.
Alia menerusi satu kenyataan berkata, dia berdebar dan takut untuk memulakan hari pertama penggambaran.
"Saya tidak tahu apa yang akan terjadi. Sehari sebelum kembali bekerja, saya tidak boleh tidur kerana berasa gementar. Saya yakin semua pelakon pasti akan melalui pengalaman serupa," katanya.
Pelakon wanita berusia 28 tahun itu berkata, dia kini membintangi filem berjudul Darling.
Selain menjadi pelakon utama dalam filem terbabit, Alia turut berperanan sebagai penerbit.
"Saya akan meletakkan seluruh tenaga dan jiwa untuk filem ini. Semoga semuanya berjalan dengan lancar," katanya.
Dalam pada itu, Alia yang menjalin hubungan cinta dengan Ranbir Kapoor dilihat masih belum ada perancangan untuk ke fasa seterusnya.
Bagaimanapun, pasangan terbabit yang dikatakan sudah dua tahun menjalin cinta mengakui sangat serius dengan hubungan yang dibina.
Terbaharu, Alia dikatakan meluangkan waktu bersama keluarga Ranbir dan berkongsi detik indah itu di media sosial miliknya.
Lebih mengujakan, rata-rata peminat sudah tidak sabar menanti khabar gembira daripada pelakon kegemaran mereka itu.
Dalam perkembangan lain, Alia juga bakal bergandingan dengan pelakon tersohor Ranveer Singh dalam filem arahan Karan Johar.
Filem yang diberi judul Rocky Aur Rani Ki Prem Kahani itu bakal menyaksikan kemunculan semula Alia dan Ranveer selepas pasangan itu pernah digandingkan bersama dalam Gully Boy.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|