|
Courtney Love terkilan dengan Olivia Rodrigo
OLIVIA (kiri) dituduh meniru gambar kulit album kumpulan Hole. FOTO AGENSI
Los Angeles: Penyanyi Courtney Love, 56, menuduh pendatang baharu, Olivia Rodrigo, 18, kurang adab kerana meniru gambar kulit albumnya tanpa meminta kebenaran.
Love menerusi media sosialnya memuat naik perbandingan gambar promosi Rodrigo itu dengan kulit album kumpulan Hole yang dianggotainya iaitu Live Through This pada 1994.
Menjawab komen peminat yang bertanya sama ada dia marah atau tidak, Love mengakui dia agak terkilan.
"Dia tak minta kebenaran. Jadi, rasanya perasaan saya bercampur-baur. Saya amat pentingkan adab," katanya.
Kenyataan Love yang juga isteri mendiang Kurt Cobain itu berjaya menarik perhatian Rodrigo yang kemudian meninggalkan komen di Instagram. Penyanyi lagu 'drivers license' itu cuma mengatakan dia sangat meminati Love.
Walaupun maklum balas itu sedikit sebanyak melembutkan hati Love, namun dia tetap memberi bayangan untuk menuntut permohonan maaf secara rasmi daripada Rodrigo.
Ini bukan pertama kali penyanyi muda terbabit dituduh meniru artis lain. Terdahulu, lagunya berjudul 'good 4 you' turut disamakan dengan lagu Misery Business nyanyian Paramore.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|