BEAUFORT: Rimas dengan tangisan anaknya, seorang lelaki bertindak memukul dan menampar serta mengugut mahu membunuh isterinya di sebuah rumah di Kampung Kampung Membakut Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata suspek berumur 27 tahun itu turut memukul anak lelaki mereka dalam kejadian kira-kira jam 3 petang. “Hasil siasatan awal mendapati suspek marah kerana anaknya menangis semasa suspek hendak tidur. “Suspek kemudiannya memukul anaknya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka suami isteri berikutan isterinya menegur perbuatan suspek terbabit,” katanya. Tambahnya suspek yang marah ditegur kemudiannya mengamuk dan memukul serta menampar isterinya lalu mengugut mahu bunuh dan juga menggantung mangsa,” katanya.
Katanya mangsa berumur 25 tahun yang takut dengan ugutan itu segera membuat laporan polis di Balai Polis Membakut, pada hari yang sama. “Mangsa mengalami sakit di bahagian pipi sudah dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut. "Selepas kejadian itu, suspek keluar rumah dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.
utusan borneo 2021-06-17T16:20:15+08:00
|