Sarawak rekod 707 kes baharu, satu kematian akibat COVID-19
KUCHING: Sarawak mencatatkan 707 kes baharu COVID-19 dengan satu kematian direkodkan di Sri Aman, hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak(JPBNS) berkata, daripada 707 kes berkenaan, 477 atau 67.47 peratus adalah daripada jumlah dikesan di lima buah daerah iaitu Kuching, Bintulu, Sri Aman, Miri dan Song. Katanya, daerah Kuching merekodkan kes harian tertinggi iaitu 247 kes diikuti Bintulu (88), Sri Aman (53), Miri (46), Song (43), Subis (40), Kapit (32), Mukah (25), Samarahan (24), Sibu (21), Beluru (17), Bau (12), Marudi (10), Asajaya (9), Selangau (8), Tatau (6), Tanjung Manis (5), Betong (4), Belaga (3), Kabong (3), Sarikei (2), Lubok Antu (2), Serian (2), Bukit Mabong (1), Kanowit (1), Pusa (1), Tebedu (1) dan Telang Usan (1). "Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes telah meningkat kepada 52,581," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
JPBNS memaklumkan daripada 707 kes baharu yang dilaporkan, seramai 39 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.
Manakala, seramai 582 orang kes atau yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang diberikan arahan perintah kuarantin. Mengenai kes kematian, JPBNS berkata dengan satu kematian berkenaan ia menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 di negeri ini telah meningkat kepada seramai 327 orang. "Kes melibatkan seorang lelaki berusia 83 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 26 Mei 2021. "Kes meninggal dunia di Hospital Sri Aman dan kes mempunyai penyakit jantung, penyakit paru obstruktif kronik, darah tinggi dan dislipidemia," katanya. JPBNS berkata sebanyak 541 kes pulih dan dibenarkan discaj dari hospital direkodkan hari ini.
sumber : utusan borneo 2021-06-08T17:24:32+08:00
|