|
Kim Jung-hyun mahu saman bekas agensi
SUSULAN kontroversi yang tercetus melibatkan dirinya sejak beberapa bulan lalu, pelakon Kim Jung-hyun dilaporkan mahu menfailkan saman terhadap bekas agensinya iaitu O&Entertainment.
Wakil peguam aktor itu dalam satu kenyataan memberitahu, kontrak Jung-hyun bersama bekas agensinya sudah tamat pada 12 Mei lalu.
Dia bagaimanapun cuba mencari penyelesaian terbaik tetapi agensi tersebut berterusan mendedahkan perangai dan sikap negatif Jung-hyun kepada umum.
“Selama ini Jung-hyun berdiam diri kerana berasa bertanggungjawab gara-gara gagal menjalankan amanahnya sebagai pelakon utama drama Time dengan baik.
“Dia sudah meminta maaf kepada semua yang terlibat tetapi agensi tersebut tetap mendedahkan dakwaan tidak benar berkaitan dirinya,” tulis peguam tersebut.
Menurut wakil peguam tersebut, pada hari berlangsungnya sidang akhbar drama Time sekitar 2018, Jung-hyun sedang mengalami masalah kesihatan yang teruk sehingga menyebabkan kegagalannya mengawal reaksi dingin di hadapan media.
Situasi sebegitu sekali gus mengundang kritikan ramai yang mendakwa Jung-hyun bersikap biadab apabila menunjukkan mimik muka ‘mencuka’ selain tidak memberi kerjasama baik kepada rakan pelakonnya, Seohyun.
“Dia mengalami muntah-muntah sehari sebelum acara berlangsung. Tetapi agensinya memaksa dia datang,” tambah wakil peguam.
Sumber:https://www.kosmo.com.my
|
|