|
Ahmad Dhani sibuk kutip hutang ketika Aidilfitri
JAKARTA – Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani mendedahkan, tahun ini dia tidak akan mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri.
Pengasas band Dewa 19 itu sebaliknya mahu menagih hutang daripada individu yang pernah meminjam wang dengannya.
Memetik laporan hot.detik.com, Dhani berkata, dia cuma akan menyambut lebaran di rumah bersama keluarga sambil mengutip hutang yang belum dilangsaikan kepadanya.
“Persiapan (Aidilfitri) saya akan menagih semula hutang.
“Yang di luar sana (individu yang berhutang dengannya), yang belum bayar silakan bayarm” ujarnya berseloroh.
Bagaimanapun, Ahmad Dhani atau nama sebenarnya Dhani Ahmad Prasetyo, 49, berkata, hutang yang ditagih sebenarnya bayaran royalti yang masih belum dibayar kepadanya.
Dalam pada itu, penyanyi asal Surabaya itu tetap mengeluarkan sedikit biaya berupa duit raya untuk diberikan kepada saudara-mara ketika menyambut hari raya.
“Duit raya yang saya sediakan banyak, maka untuk teman-teman yang belum bayar royalti silalah berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, isteri Ahmad Dhani yang juga penyanyi Mulan Jameela turut berkata, situasi pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia tidak membolehkan dia menerima kunjungan daripada orang luar untuk ke rumahnya.
“Kunjungan ke rumah tidak dibenarkan. Saya dan keluarga mengikut protokol kesihatan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Pada masa bekas suami anggota kumpulan Ratu, Maia Estianty itu turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman dengan kerap untuk mengelak dijangkiti Covid-19. – K! ONLINE
|
|