|
Peminat tak keruan Dylan O’Brien tweet bahasa Melayu
PETALING JAYA – Bintang filem Love and Monsters yang kini sedang sohor kini tangga nombor satu di Malaysia menerusi Netflix, Dylan O’Brien membuatkan peminat Malaysia tidak keruan apabila memuat naik tweet atau ciapan dalam bahasa Melayu.
Dylan membalas ciapan yang ditinggalkan akaun rasmi Netflix Malaysia yang menyenaraikan sebab-sebab mengapa filem arahan Michael Matthews tersebut wajib ditonton peminat.
Ciapan dimuat naik Dylan di laman Twitter
“Wah, semua sebab-sebab yang terbaik (emoji berbentuk hati). Semua anda mahu ada dalam filem ini!,” ciap Dylan atau nama lengkapnya, Dylan Rhodes O’Brien, 30.
Dylan yang merupakan aktor kelahiran New York, Amerika Syarikat mula dikenali menerusi karakter Thomas dalam trilogi, Maze Runner selain beberapa filem lain seperti Bumblebee dan Deepwater Horizon.
Sebelum Dylan, pemain karakter ikonik, Thor pernah bercakap dalam bahasa Indonesia ketika sesi temu bual mempromosikan filem lakonannya, Thor: Rognarok (2017).
Seorang netizen Twitter berseloroh apabila Dylan bertindak berciap dalam bahasa Melayu: “Chris Hemsworth shaking and crying right now (Chris Hemsworth sedang menggigil dan menangis sekarang).
Ciapan Dylan setakat pukul 12 tengah hari ini mendapat 17,000 tanda suka (like) dan mencetuskan interaksi ramai bukan sahaja dalam kalangan pengguna Twitter Malaysia bahkan dari negara lain seperti Sepanyol, Mexico dan Itali.
Sejak ditayangkan menerusi Netflix bermula 14 April lalu, Love and Monsters kini menjadi filem nombor satu di 80 buah negara. – K! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my
|
|