Kereta Api Tergendala Dua Jam Gara-Gara Kucing Melepak Atas Bumbung
![](https://himpunanceritalawak.com/app/uploads/2021/03/kucing-atas-keretapi-750x395.jpg)
Kucing sememangnya haiwan yang terkenal dengan gelagatnya yang tidak boleh diduga. Walaupun bertubuh kecil, kadang kala mereka boleh membuatkan kita pening kepala dibuatnya. Seekor kucing dijumpai sedang asyik melepak di bumbung sebuah kereta api di stesen London Euston. Kucing yang sangat berani itu dilihat berada di atas kereta api Avanti West Coast setengah jam sebelum dijadualkan ke Manchester. Oleh kerana kucing tersebut yang telah memonopoli ruang di atas kereta api itu, para penumpang kemudian dipindahkan ke kereta api gantian.
Bukan itu sahaja, kejadian ini turut menyebabkan sistem perkhidmatan kereta api menjadi tergendala dan tidak dapat diteruskan mengikut jadual. Para kakitangan kemudian memujuk kucing tersebut untuk turun daripada bumbung kereta api itu yang juga bahaya untuk kucing itu di mana ia hampir mendekati garis atas 25,000 volt.
Selepas lebih dua jam usaha memujuk dilakukan, mereka mendapat idea untuk mengambil tong sampah untuk dijadikan sebagai umpan. Sebuah tong sampah ditarik di sebelah kereta api untuk membolehkan kucing itu melompat ke dalamnya dan turun dari landasan.
Usaha itu akhirnya berjaya menarik perhatian kucing itu yang akhirnya turun daripada bumbung kereta api itu. Sebaik sahaja turun, kucing itu langsung kelihatan tidak terganggu malah berpusing-pusing di kawasan sekitar seolah-olah mencari tempat yang baru untuk melepak.
Kakitangan kereta api juga masih tidak dapat mengetahui bagaimana kucing tersebut boleh berada di atas bumbung itu.
Biasanya kami sering berurusan dengan masalah burung di dalam stesen kereta api ini tetapi ini kali pertama kami menghadapi masalah kucing di atas bumbung kereta api.”
Pengurus stesen kereta api itu juga bersyukur kucing itu selamat di dalam kejadian ini walaupun ianya mengambil masa yang sangat lama. Para penumpang kereta api juga turut sama-sama membantu kakitangan kereta api dalam usaha memujuk kucing itu.
|