Bomba menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke lubang sedalam 4.57 meter di kawasan belukar, di tepi Lebuhraya Pasir Gudang - Perling, Johor Bahru.- Foto NSTP/Ihsan JBPM
Berita Harian
Nurul Amanina Suhaini
[email protected]
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam lubang sedalam 4.57 meter dalam kejadian di kawasan belukar, di tepi Lebuhraya Pasir Gudang - Perling, dekat sini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Rafie Sareng, berkata mangsa, Kamarulzaman Mohd Ali, 28, dimaklumkan keluar bersendirian ke rumah rakannya di Damansara Aliff, di sini, sekitar jam 5 pagi, semalam.
Katanya, keluarga mangsa menghubungi pihak polis sejurus dimaklumkan mangsa terjatuh oleh bapanya yang cuba menghubunginya kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
"Polis meminta bantuan bomba pada jam 8.10 malam tadi dan operasi pencarian dimulakan. Seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Sekitar jam 11.20 pagi tadi, mangsa sudah ditemui oleh polis di dalam lubang berkenaan. Pihak bomba menggunakan tangga dan tali untuk menyelamat, kemudiannya seorang anggota membawa naik mangsa ke atas sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan seterusnya.
"Mangsa masih hidup, dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan ringan ketika ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk rawatan lanjut.
Mohd Rafie menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan diri keluar ke kawasan hutan, terutama waktu gelap dan duduk di rumah sekiranya tiada kepentingan. |