|
KUCHING: Sarawak mencatatkan tiga kes import positif COVID-19 hari ini, yang masing-masing di daerah Kuching, Miri dan Limbang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 755 kes.
Menurutnya, kes pertama iaitu kes ke-753 merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah dan singgah di Labuan sebelum tiba di Lapangan Terbang Miri pada 9 Oktober 2020.
"Kes merupakan seorang juruteknik di salah sebuah pelantar minyak di perairan Sabah dan telah berada di atas pelantar dari 8 September 2020 sebelum sign off pada 8 Oktober 2020.
"Setibanya di Lapangan Terbang Miri, kes dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
"Pada 11 Oktober 2020, kes telah menjalani saringan pertama untuk COVID-19 dan keputusan ujian rT-PCR kes didapati positif pada 13 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Miri pada hari yang sama untuk rawatan lanjut," katanya pada sidang media mengenai situasi COVID-19 di Sarawak, hari ini.
Uggah berkata, kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala jangkitan awal COVID-19 dan dikategorikan sebagai kes yang mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi COVID-19 iaitu Sabah. Pengesanan kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan.
Sementara kes ke-754 pula ialah seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kinarut, Sabah pada 25 September 2020 sehingga 3 Oktober 2020.
Katanya semasa berada di Sabah, kes dilaporkan pernah menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan ujian rT-PCR pada 28 dan 30 September 2020 dan kedua-dua ujian tersebut adalah negatif COVID-19.
"Semasa di Kinarut, Sabah, kes telah menghadiri majlis perkahwinan saudara terdekat kes. Siasatan lanjut juga telah mendapati pakcik kes di Kinarut, yang menghadiri majlis tersebut juga telah didapati positif ujian rT-PCR COVID-19 pada 12 Oktober 2020.
"Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 3 Oktober 2020, kes telah menjalani semula saringan COVID-19 dan kes dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari. Keputusan ujian rT-PCR untuk saringan pertama juga didapati negatif," katanya.
Uggah berkata, pada 12 Oktober 2020, kes telah menjalani ujian saringan hari ke-10 di pusat kuarantin dan ujian rT-PCR COVID-19 kes didapati positif pada 13 Oktober 2020.
Kes dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut dan kes dikategorikan sebagai kes yang mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi COVID-19 iaitu Sabah.
Mengenai kes ke-755, juga merupakan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah agama di Kimanis, Sabah yang telah pulang ke Lawas, Sarawak kerana arahan penutupan sekolah di Sabah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Kes telah mendapat kebenaran pulang ke Sarawak pada 8 Oktober 2020 dan kes dihantar ke ICQ Merapok, Lawas oleh pihak sekolah menggunakan bas sekolah.
"Setibanya kes di Lawas, kes dibawa dan dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari. Kes bagaimanapun dipindahkan ke pusat kuarantin di Daerah Limbang pada 9 Oktober 2020 menggunakan bot expres kerana pusat kuarantin di Lawas mengalami kekurangan bilik kuarantin," kata Uggah.
Menurut beliau, kes telah menjalani saringan pertama COVID-19 pada 10 Oktober 2020 di pusat kuarantin dan ujian rT-PCR kes didapati positif pada 13 Oktober 2020 dan dirujuk ke Hospital Miri untuk mendapat rawatan lanjut pada hari yang sama.
"Kes dilaporkan telah mengalami tanda dan gejala awal jangkitan COVID-19 pada 9 Oktober 2020. Kes ini dikategorikan sebagai kes yang telah mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi COVID-19 iaitu Sabah," katanya lagi.
Sementara itu mengenai kluster aktif di Sarawak, hari ini tiada kluster baharu dikesan, ujarnya sambil menambah, dua kluster masih aktif di Sarawak iaitu Bah Arnab di Kuching dan Kluster Putra di Bintulu.
Bagi kluster Bah Arnab ia kekal melaporkan empat kes positif COVID-19 sementara kluster Putra, tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan melibatkan kluster ini dan jumlah kes positif melibatkan kluster ini kekal seramai enam orang termasuk kes indeks.
Jessica Jawing
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|