|
KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis rokok seludup dianggarkan bernilai RM359,462.80 di sebuah premis di Bau pada Sabtu.
Komandernya SAC Mancha Ata berkata bertindak atas maklumat risikan Ops Libas, sepasukan pegawai dan angota risikan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok tidak bercukai lebih kurang pukul 11.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan bersama suspek, pasukan risikan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak telah menjumpai rokok pelbagai jenis tidak bercukai sebanyak 470,040 batang dengan nilai keseluruhan RM359,462.80.
"Rokok pelbagai jenis yang dirampas ini terdiri daripada rokok putih sebanyak 371,000 batang bernilai RM278,250 dan rokok kretek sebanyak 99,040 batang dengan nilai RM81,212.80 disimpan di dalam rumah tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menambah tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
"Kes ini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut," katanya.
Patricia Gari
|
|