“Saya bersyukur dapat mengembalikan dompet kepada yang hak dan pemilik asalnya."
Itulah yang dikatakan oleh Mohamad Azri Abdul Razmi, 27 yang juga merupakan pekerja Menara Taming Sari (MTS) di Bandar Hilir, Melaka.
Memetik laporan Harian Metro, lelaki ini terkejut ketika menemui dompet berisi duit yang banyak ketika memeriksa kabin MTS pada 6.30 petang, minggu lalu.
Dia terus menyerahkan dompet itu kepada pihak pengurusan menara tersebut.
Kredit foto: Harian Metro
“Saya niat kerana Allah dan perlu jujur kepada diri serta semua menjadi asas yang penting ketika bekerja. Saya tidak mengharap sebarang balasan kerana semuanya diatur ketentuan Ilahi untuk membalasnya.
“Saya gembira pemiliknya dapat semula barangan mereka dengan keadaan baik dan tidak terusik,” katanya.
Dalam pada itu, Azri berkesempatan bertemu dengan anak kepada pemilik dompet itu, Melissa Shum yang kini menetap di Jerman.
Menurutnya, Melissa sangat berterima aksih kepada pihak kakitangan dan pengurusan yang menemui dompet itu.
“Kebiasaan setiap barang yang ditemui akan diserahkan kepada pengurusan dan pihak polis.
“Jika terdapat maklumat, kami turut menghubungi pemiliknya malah pernah mengirimkan barangan kepada pelanggan atas persetujuan mereka.
“Saya memang dilatih untuk tidak mengambil hak orang dan sebelum ini pernah menemui pelbagai barangan pelanggan dan menyerahkan kepada pengurusan,” ujarnya. - CARI |