Pengawal keselamatan cedera dipukul guna kayu golf
KUALA LUMPUR: Berang akibat kereta yang diletak di ruang khas bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) dikunci tayarnya, seorang lelaki membelasah pengawal keselamatan menggunakan kayu golf di Jalan Gombak, Setapak, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang tadi, pengawal keselamatan warga Nepal terbabit mengalami kecederaan di lengan dan telinga kanan akibat dipukul suspek.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata kejadian berlaku apabila mangsa berusia 30-an itu sedang meronda sebelum mendapati sebuah kereta jenis Honda Jazz diletak di tempat letak kereta OKU.
Mangsa kemudian mengunci tayar kenderaan berkenaan, namun setengah jam selepas itu, dua lelaki datang kepadanya dan meminta untuk membuka kunci berkenaan.
“Mangsa menyatakan bahawa mereka perlu membayar denda di pejabat pengurusan tetapi kedua-dua lelaki berkenaan tidak menghiraukannya sebelum merosakkan kunci terbabit.
“Mangsa menegur tindakan dua lelaki itu dan seorang daripadanya memarahi pengawal keselamatan berkenaan dan menumbuk mukanya.
“Suspek yang sama kemudian mengambil kayu golf dari dalam kenderaan berkenaan sebelum menghayunkan ke arah mangsa hingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, polis menahan suspek berusia 24 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah untuk siasatan lanjut.
“Mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan yang dialaminya. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.