Kredit foto: Instagram
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memang terkenal dengan sikap merendah diri dan peramah dengan rakyat jelata.
Malah, Seri Paduka tidak keberatan mencemar duli beratur untuk memesan makanan di restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) di Temerloh, Pahang pada 21 Jun lalu.
Gelagat Yang di-Pertuan Agong itu sudah tentunya mencuri tumpuan para netizen selepas gambar-gambar Seri Paduka di restoran makanan segera tersebut dikongsikan melalui laman Instagram Istana Negara.
Menurut keterangan gambar, Seri Paduka berangkat ke restoran berkenaan untuk menikmati santapan tengah hari selepas menunaikan solat Jumaat.
Seri Paduka diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak.
Seri Paduka diiringi Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak. Kredit foto: Instagram
Sementara itu, KFC Malaysia dalam ruangan komen laman Instagram Istana Negara menyatakan mereka menjunjung kasih kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana berkenan mencemar duli berangkat ke cawangan mereka di Temerloh.
Kredit foto: Instagram
Netizen turut menyifatkan kunjungan Yang di-Pertuan Agong itu menepati titah ayahanda Seri Paduka, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah iaitu "Raja dan rakyat berpisah tiada".
Beberapa netizen turut membayangkan apakah perasaan yang dialami oleh pengurus dan pekerja di restoran makanan segera tersebut sebaik sahaja melihat Yang di-Pertuan Agong berdiri di hadapan mereka.
Kredit foto: Instagram
Sikap merendah diri Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah walaupun selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong menambah lagi perasaan kasih dan hormat rakyat jelata terhadap Seri Paduka.
Memang benarlah maksud pepatah 'ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya'. Daulat Tuanku! - CARI |