Bahang kemeriahan sambutan perayaan Kaamatan atau Pesta Menuai di Sabah kini semakin terasa di Negeri Sabah menjelang kemuncak pada 30 dan 31 Mei nanti yang akan diadakan di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Penampang Sabah.
Kredit foto: Nick Photography
Perayaan terbesar negeri yang disambut oleh suku Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) ini bakal menampilkan pelbagai acara tradisional dan selalunya dihadiri oleh puluhan ribu pengunjung. Salah satu daripada acara yang menjadi tumpuan ramai ialah pertandingan ratu cantik tradisi, Unduk Ngadau iaitu memilih sumandak atau gadis yang mewakili semangat Huminodun, lagenda terkenal suku kaum itu.
Kredit foto: Astro News
Sebanyak 60 daerah seluruh Sabah akan menghantar wakil masing-masing dan tahun ini kontroversi tercetus apabila seorang peserta Unduk Ngadau peringkat Daerah Kota Marudu hampir ditolak gara-gara namanya yang menyerupai nama gadis Melayu memandangkan peserta beragama Muslim sememangnya dilarang daripada menyertai acara itu.
Kredit foto: Borneo Post
Nurul Yanadido, seorang gadis Dusun terpaksa membawa bersamanya Sijil Baptisan kerana namanya. Berikutan itu, Nurul menjadi trending di media sosial kerana masih ramai yang keliru mengenai pengunaan nama-nama di Sabah yang mempunyai kemiripan dengan nama Melayu walaupun berketurunan KDMR dan beragama bukan Muslim. Uniknya lagi, ramai warga Bumiputera Sabah turut menggunakan BIN dan BINTI dalam kad pengenalan mereka.
Kredit foto: Facebook
Malam Ahad lalu, tuah viral nampaknya menyebelahi Nurul apabila beliau berjaya memenangi gelaran Unduk Ngadau peringkat daerahnya dan bakal bersaing dengan 60 gadis lain di KDCA pada hari kemuncak nanti. Dengan kebolehan berbahasa ibunda dengan lancar, Nurul berjaya menewaskan peserta yang lebih berpengalaman walaupun inilah penyertaan pertama gadis belasan tahun itu.
Tahniah dan semoga berjaya kepada sumandak ini di KDCA nanti! -CARI |