Edited by NaemZamhury at 25-11-2018 11:42 PM
Srengenge merupakan sebuah karya agung Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad yang telah merangkul Anugerah Novel Terbaik pada tahun 1973. Novel tersebut juga telah di ulang cetak sebanyak tiga kali dan turut diterjemahkan kepada tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Thailand dan Rusia. Karya ini juga telah diadaptasi ke layar kaca untuk tayangan RTM pada tahun 2017.
Menurut penulis, Srengenge merupakan frasa Jawa Kuno yang membawa erti ‘matahari’. Srengenge membawa kita menyelusuri permasalahan yang terjadi bila mana arus kemodenan mahu diadaptasi ke dalam kulawangsa desa yang jauh terpencil dan ketinggalan dari kelangsungan hidup manusiawi kini. Malah,ianya menjadi duri dalam daging kerana pegangan dan kepercayaan spiritual yang masih teguh dianuti oleh masyarakat kampung tersebut.
Srengenge merupakan sebuah bukit yang berada di kampung penulis sendiri di daerah Sik, Kedah iaitu Bukit Enggang. Bukit ini melatari panorama sepanjang perjalanan ke daerah Sik. Namun, terdapat pelbagai kisah misteri yang belum terungkai disebalik agungnya karya Srengenge ini.
‘Sarang’ Sang Bunian
Cerita mistik yang acap kali terjadi di sekitar daerah Sik ini berkait rapat dengan ‘kerasnya’ Bukit Enggang itu sendiri. Kisah turun temurun daripada nenek moyang seakan tidak pernah menjadi sejarah kerana ianya seringkali berulang membelenggu masyarakat kampung. Natijahnya, arus permodenan belum mampu untuk ‘membunuh’ kepercayaan yang dipegang oleh masyarakat di sini.
Kisah yang sangat masyur adalah berkenaan kaum bunian yang berkampung di bukit tersebut sejak sekian lama. Pernah satu ketika, seorang Ustaz hilang setelah menuju ke Bukit Enggang yang mana akhirnya pencarian terhenti apabila beliau dijumpai selang beberapa hari kemudian. Apa yang mengejutkan adalah kisah yang disampaikan oleh Ustaz tersebut bahawa beliau sebenarnya sudah beberapa tahun berada di alam itu dan sudah pun mempunyai anak dengan seorang puteri bunian di alam mereka. Selang beberapa tahun kemudian, Ustaz tersebut meninggal dunia. Beberapa orang kampung yang merupakan pawang/bomoh di kampung tersebut melihat dengan jelas seorang puteri bunian yang berada di sisi jenazah menangisi kematian suaminya.
Selain itu, terdapat suatu kisah di mana penduduk-penduduk kampung meminjam pinggan mangkuk untuk kegunaan kenduri kendara mereka daripada alam bunian. Dan pastinya hubungan manusia dan jin yang digelar bunian ini agak rapat sehinggakan boleh menjalinkan hubungan kemasyarakatan.
Namun, konflik terjadi tatkala orang-orang kampung melanggar perjanjian antara mereka dengan masyarakat bunian dengan tidak menghantar kembali pinggan mangkuk yang rosak atau pecah kepada bunian setelah majlis selesai. Malahan orang-orang kampung bertindak menukar pinggan mangkuk yang rosak atau pecah tersebut dengan yang baru. Oleh kerana sikap tidak jujur pada perjanjian tersebut, ‘persaudaraan’ yang terjalin antara mereka terus terputus hingga ke hari ini.
‘Transit’ Hantu Raya
Disamping itu, Bukit Enggang juga merupakan ‘transit’ kepada hantu-hantu raya yang ‘dibuang’ oleh bomoh atau si pemakai pada masa dahulu. Oleh sebab itu, sekolah-sekolah, taman-taman perumahan dan kebun-kebun di sini agak ‘keras’.
Memandangkan perjanjian ‘transit’ ini bertujuan supaya makhluk halus ini menetap terus di kawasan berkenaan, kesannya adalah kepada kehidupan masyarakat pada hari ini. Kejadian-kejadian seperti ‘menumpang’, merasuk dan mengusik penduduk-penduduk yang berdekatan dengan kaki Bukit Enggang seringkali berlaku.
Pada tahun 1980-an menyaksikan kejadian histeria secara besar-besaran di sekolah-sekolah sekitar daerah Sik. Malah, hingga ke hari ini, terdapat beberapa kawasan di sekolah-sekolah berkenaan yang ditetapkan sebagai kawasan larangan untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku kepada guru-guru atau murid-murid.
Secara konklusinya, kita wajib meyakini bahawa manusia akan terus kekal hidup bersama makhluk halus di muka bumi ini hingga ke hari Pembalasan. Secara nyata mahupun tidak, makhluk halus ini merupakan suatu ujian oleh Allah S.W.T kepada umat manusia untuk mengindahkan catatan iman dan iktikad dalam diri. Jadi, perbanyakkanlah amal soleh supaya terhindar daripada fitnah mereka. InshaAllah.
|