|
Fattah, Fazura janji kerja lebih kuat
Oleh Feride Hikmet Atak
[email protected]
Pelakon, Fazura (kiri) dan Fattah Amin.- Foto Mohd khairul Helmy Mohd Din
KUALA LUMPUR: Mengejutkan peminat dengan pernikahan mereka akhir bulan lalu, pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin menutup tirai tahun ini dengan meraih trofi pada Anugerah TeleNovela 2017.
Pada acara itu, Fattah menang trofi Pelakon Lelaki Popular melalui drama Suri Hati Mr Pilot dan Pelakon Lelaki Sensasi manakala isterinya, meraih trofi pelakon Filem Wanita Popular.
Berkat kejayaan itu, Fattah dan Fazura berjanji akan berusaha lebih keras dalam meningkatkan karier sebagai pelakon.
Namun, bagi Fattah, sebagai pelakon, populariti saja tidak mencukupi.
Sebaliknya, dia mahu bekerja lebih baik untuk menjadi anak seni berkualiti.
"Dengan rasa syukur, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga buat semua yang ikhlas mengundi siang dan malam demi kemenangan ini.
"Insya-Allah saya akan berusaha lebih keras lagi untuk menjadi lebih baik. Popular saja tidak cukup. Tetapi, saya mahu melakukan lebih baik dalam bidang lakonan sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Sokongan anda amat saya perlukan. Mulai saat ini saya akan berjuang di dalam industri ini bersama-sama isteri yang tercinta. Bersama kita lebih kuat Insya-Allah," katanya yang meluahkan perasaan melalui entri pada akaun Instagram.
Sementara itu, Fazura berkata, dia percaya berkat kejujuran, keikhlasan dan usaha keras, semua anak seni mampu memajukan diri sendiri.
"Saya bersyukur kerana sepanjang perjuangan yang jujur sebagai anak seni, saya menerima banyak nasihat, tunjuk ajar dan sokongan daripada pelbagai pihak dalam memajukan kerjaya.
"Selepas menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27, dua tahun lalu, saya anggap anugerah terbaharu ini sebagai suatu lagi dorongan daripada penggiat seni untuk saya meningkatkan mutu lakonan.
"Seterusnya melebarkan sayap ke persada antarabangsa," katanya melalui entri yang dimuat naik pada akaun Instagram.
Bintang filem Langit Cinta itu turut berterima kasih kepada pelakon veteran yang banyak berkongsi pengalaman mengenai integriti anak seni.
"Ribuan terima kasih ditujukan kepada pelakon veteran yang banyak berkongsi pengalaman mengenai komitmen, disiplin dan integriti sebagai anak seni.
"Tidak lupa juga peminat di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan negara lain yang sentiasa memberi sokongan.
"Mohon doakan saya terus maju dalam perjuangan sebagai anak seni. Istimewanya mulai saat ini, saya akan berjuang di samping suami yang tercinta," katanya.
Pada Anugerah TeleNovela 2017, drama adaptasi novel Mr Boss, Miss Stalker mengungguli kategori terbaik pada malam Anugerah Telenovela 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lalu.
Drama arahan Heykal Hanifah itu turut meraih kemenangan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik yang diraih Mia Ahmad; Pelakon Lelaki Terbaik (Ashraf Muslim), Penulis Skrip Terbaik (Sofia J Rhyland), Pengarah Terbaik, Telenovela Terbaik dan Penerbit Telenovela Terbaik (Saphire Screen Sdn Bhd).
TV3 turut meraih dua trofi iaitu Stesen Penyiar Telenovela Paling Ramai Ditonton (Slot Akasia) dan Stesen Penyiar Telenovela Paling Popular.
Sebanyak 35 kategori lain turut diumumkan. Pemilihan pemenang dibuat menerusi penilaian panel juri profesional terhadap 24 drama bersiri yang disiarkan.
Antara pemenang :
Novel Terbaik - 7 Hari Mencintaiku
Novel Adaptasi Terbaik - Langit Cinta
Telenovela Terbaik - Mr Boss, Miss Stalker
Pelakon Wanita Terbaik - Mia Ahmad (Mr Boss, Miss Stalker)
Pelakon Lelaki Terbaik - Ashraf Muslim (Mr Boss, Miss Stalker)
Novelis Terbaik - Siti Rosmizah (7 Hari Mencintaiku)
Penulis Skrip Terbaik - Sofia J Rhyland (Mr Boss, Miss Stalker)
Pengarah Terbaik - Heykal Hanifah (Mr Boss, Miss Stalker)
Penerbit Novel Terbaik - SR Publication (7 Hari Mencintaiku)
Penerbit Telenovela Terbaik - Saphire Screen Sdn. Bhd. (Mr Boss, Miss Stalker)
Novel Popular - Suri Hati Mr Pilot
Telenovela Popular - Suri Hati Mr Pilot
Pelakon Wanita Popular - Neelofa (Suri Hati Mr Pilot)
Pelakon Lelaki Popular - Fattah Amin (Suri Hati Mr Pilot)
Pelakon Filem Lelaki Popular - Zizan Razak
Pelakon Filem Wanita Popular - Fazura
Pelakon Drama Lelaki Popular - Alif Satar
Pelakon Drama Wanita Popular - Syatila Melvin
|
|