ERTI PERSAHABATAN
sumber asal pautan : http://www.yadim.com.my/v2/?p=28138
Oleh LUQ AL-FATEH
Perlukah kehadiran seorang sahabat di sisi kita? Seorang sahabat yang akan sentiasa ada bersama-sama ketika kita sedang diulit kesedihan mahupun ketika meraih kegembiraan? Atau adakah mereka tidak diperlukan dalam kehidupan kita dengan alasan, “ala…boleh je hidup kalau tak ada kawan. Lagipun dalam dunia yang serba ada ini, banyak cara dan aktiviti yang boleh dibuat untuk menghiburkan dan menemani diri kita seperti bermain gajet, menonton filem di pawagam dan bersukan.”
Saya kira semua orang ada kawan. Mungkin sahabatnya yang kurang ada. Dalam zaman sekarang, kawan bukan sahaja yang bertemu secara bersemuka tetapi ada juga istilah kawan online, iaitu kawan-kawan yang dikenali di atas talian. Berjumpa pun tidak pernah tetapi apabila berbual di talian, sembangnya rancak seolah-olah sudah lama kenal. Pernah juga terdengar ada orang berkata, “saya tidak ada kawan.” Betulkah? Bolehkah seseorang menjalani kehidupan tanpa kawan-kawan di sisi?
Hakikatnya, Islam amat menggalakkan untuk kita berkenal-kenalan dan menjalinkan persaudaraan sesama kita. Pola kehidupan manusia telah menjadikan kawan atau sahabat sebagai individu penting dalam membentuk keperibadian seseorang terutama ketika menginjak usia. Oleh sebab itu, kita sering diingatkan supaya bijak memilih kawan. Memilih kawan-kawan yang sentiasa memandu kita kepada kebaikan dan bukan kawan-kawan yang hanya akan merosakkan masa hadapan kita sendiri.
Pepatah Arab menyebut: “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan bajunya.” Kawan…radar komunikasinya mungkin hanya berputar tentang perkara-perkara yang mudah dan menyenangkan. Bicara soal aktiviti seharian, hobi di masa senggang, diskusi tentang sesuatu produk di pasaran dan sebagainya. Kalau sahabat bagaimana pula? Sudah tentunya topik perbualannya lebih serius, matang dan beranalisis.
|