Agak mustahil bagi sesiapa sahaja untuk tidak mengenali Mr. Bean. Watak komedi dari United Kingdom ini boleh dikatakan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan para penonton televisyen.
Rancangan Mr. Bean telah mula ditayangkan pada 1 Januari 1990 di United Kingdom. Tetapi, siri Mr. Bean ini telah sampai di Malaysia lewat tahun 1997. Rancangan Mr. Bean ini telah ditayangkan bermula dari tahun 1990 sehinggalah tahun 1995.
Bagaimana Watak Mr. Bean Terhasil?
Watak Mr. Bean ini telah dihasilkan oleh pelakon yang memegang watak ini iaitu Rowan Atkinson. Pada ketika itu, Atkinson sedang melanjutkan pengajian ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrikal di Queen’s College, Oxford (Yang jadi Mr. Bean pun ada master, memang bukan calang-calang orang ni).
Mr. Bean sebenarnya adalah seorang lelaki dewasa tetapi mempunyai jiwa kebudak-budakan yang sangat kuat dalam dirinya. Sebab itulah kita dapat melihat segala tindak-tanduknya sama seperti seorang kanak-kanak. Malah, Rowan Atkinson juga pernah berkata bahawa, “Mr. Bean adalah seorang kanak-kanak yang hidup dalam badan orang dewasa.”
Watak Mr. Bean ini pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ia menjadi sebuah rancangan televisyen. Ia pernah muncul dalam sebuah persembahan komedi di Edinburgh Fringe pada awal 80an.
Kemudian, ia muncul pula dalam sebuah sitcom yang bernama ‘Canned Laughter’ tetapi menggunakan nama ‘Robert Box’ dan dilakonkan sendiri oleh Rowan Atkinson. Ia telah ditayangkan pada tahun 1979.
Pada tahun 1987, semasa Rowan Atkinson membuat persembahan sebagai Mr. Bean di Montreal, Kanada, beliau bertegas dengan pihak penganjur untuk membuat persembahan menggunakan bahasa perancis dan bukan bahasa inggeris.
Rupa-rupanya, tujuan beliau berbuat begitu adalah sebagai satu ujikaji di mana Rowan Atkinson mahu melihat adakah warganegara lain yang tidak fasih berbahasa inggeris dapat menerima atau tidak lawak fizikal yang ditunjukkan oleh Mr. Bean. Hasilnya, ramai penonton yang menyukai lawak yang ditunjukkan oleh Mr. Bean.
Siapa Sebenarnya Mr. Bean Ini?Dalam rancangan televisyen ‘Mr. Bean’, Mr. Bean tinggal di sebuah pangsapuri yang beralamat di Flat 2, 12 Arbour Road, Highbury. Mr. Bean dilihat seperti mempunyai kostum kerana dia sering memakai kot berbulu berwarna perang, berkemeja putih, bertali leher merah dan seluar slack yang agak senteng.
Lawak Mr. Bean terhasil apabila beliau menyelesaikan masalah kehidupan sehariannya menggunakan caranya sendiri. Contohnya seperti episod pertama rancangan ini, Mr. Bean ingin membeli kuali, jadi beliau tidak tahu saiz yang sepatutnya digunakan. Jadi beliau telah membawa seekor ikan mentah yang disimpan dalam kotnya untuk menguji saiz kuali yang sesuai.
Selain itu, jika anda masih ingat satu episod di mana Mr. Bean baru sahaja membeli set televisyen dan beliau terpaksa menanggalkan semua pakaiannya supaya mendapat frekuensi siaran yang baik untuk menonton televisyen.
|