View: 4550|Reply: 5
|
CERPEN : Antara Langit, Bumi dan Dua Hati
[Copy link]
|
|
Edited by Bohemia at 17-9-2016 10:14 AM
Aku tercungap-cungap mempercepatkan langkah. Aku mula menyedari aku sudah kehilangan arah. Tiada lagi pedoman. Sinar pula semakin kelam ditelan kabut berdebu. Aku ditinggalkan keseorangan. Tiba-tiba aku terjunam ke bawah dan terperosok di lantai sebuah lubuk dalam. Sakit. Gelap zulmat. Tiada sekelumit cahaya. Aku menjerit meminta pertolongan. Ada suara menyahut. Jeda. Aku menjerit lagi. Suara tadi kembali bersahut-sahutan, semakin galak seakan mengejekku. Aku bangkit dan lari menggagau dalam kegelapan. Aku takut akan suara itu yang kedengaran semakin parau. Aku amati dalam gememtar. Ah, ia cuma gema pantulan suaraku.
Aku tersentak lantas melihat kehadiran sinar malap dari suatu sudut. Nafasku kencang. Dahiku basah. Mataku terpentang lebar. Aku termelangu lemah. Lemah sepertinya aku terdampar di tepian pantai setelah berhari-hari terapung di lautan. Aku bermimpi, namun masih dihimpit ketakutan sebentar tadi. Tunjang kekuatanku semakin terhakis. Ini bukan kali pertama, tapi telah sering, telah menimbun, telah memberikan beban rasa yang tidak lagi tertanggung.
Aku bangkit untuk gagahkan diri pergi membasahkan badanku dengan air wudhuk. Aku ingin menemui penciptaku untuk mengadu. Aku kenakan telekung dan kain solat. Aku berdiri dan saat kedua tanganku mengangkat takbir, air mataku berjujuran turun membasahi pipi tak tertahankan lagi. Aku mulai tangiskan selaut air mataku. Aku tahu Allah ada di dekatku. Dalam esak tangisan, aku merintih. Ingin Dia mendengar sekali lagi setiap curahan isi hatiku.
“Ya Allah, tolonglah aku. Aku hanya ada Engkau tempat untuk meminta. Kasihanilah aku. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasihani. Bimbinglah aku, kuatkanlah semangatku dan teguhkan jiwaku untuk menempuh lautan kehidupan penuh gelora ini. Aku hambaMu yang kerdil dan lemah. Ujianmu amat berat untuk aku galas. Aku redha kerana Engkaulah sebaik perancang. Aku mohon terangilah hidupku dengan limpah cahaya yang menyuluh ke landasan yang kau inginkan. Tunjukkanlah aku jalan ke sana, destinasi yang kau janjikan buat hambaMu yang taat. Tempat yang tiada lagi kesedihan, tiada lagi penderitaan.”
Usai solat, aku terus damparkan jasadku di atas sejadah. Aku ingin lumpuh dalam kelubung rasa itu. Mahu terus berada dalam ruang damai dengan Pencipta. Mataku membasahkan sejadah. Aku tidak mampu menongkat langit kerana hakikatnya aku hanyalah makhluk kerdil yang hanya mampu menumpang di bawah teduhan langit milikNya. Aku serapuh dedaun kering. Aku sedang mengemudi sebuah sampan kecil yang berlubang terkolek sendiri di tengah lautan luas yang membadai tanpa kenal belas.
Imanku lemah. Walaupun pernah aku cuba menjauh dari Dia, tapi tidak lama aku sedari aku melemah tanpa berada dibawah lindunganNya. Dia tidak pernah jemu denganku, tidak pernah pudar kasihNya untukku. Dia sentiasa mengintai tingkahlakuku. Selalu memperingatkan aku untuk kembali kepadaNya. Betapa kasih sayang Allah itu mengatasi segala-galanya.
Aku terlena di atas sejadah. Dalam lena, mimpi bertandang lagi. Tapi bukan mimpi buruk. Ia mimpi yang menyuluh sinar untuk aku melihat dengan mata hati akan seseorang. Di atas sejadah aku meriba senaskah kitab suci qalamullah. Aku membaca baris demi baris ayat-ayat kasih, peringatan, petunjuk, pengajaran dari Allah. Aku membaca penuh kyusuk. Hingga sampai ke satu ayat, bacaanku tersekat. Aku cuba lembutkan lidahku, namun ia semakin kelu. Dadaku mula berombak. Entah dari mana datangnya tiba-tiba ada satu tangan datang menyapu ubun-ubunku. Dan seraya kedengaran suara pemiliknya melontarkan baris ayat yang aku ingin lafazkan itu. Aku mengulangi alunannya perlahan sebelum mengangkat wajahku untuk melihat siapakah lelaki itu. Aku mencari wajahnya. Dia memandangku dengan senyuman. Aku amati.
Aku terjaga. Jam menunjukkan malam masih berbaki satu pertiga. Aku pergi menyucikan diri dengan wudhuk sekali lagi. Aplikasi Al-quran dalam telefon pintar aku buka. Dan aku mula mengaji. Aku terus menyambung dari surah ke surah hinggalah azan Subuh berkumandang di corongnya. Selesai menunaikan solat, aku genggam kembali telefon itu. Kali ini aku menyelak koleksi foto yang dirakam beberapa minggu lepas. Aku pilih foto aku tidak berseorangan. Aku tatap wajahnya. Ya, dialah yang hadir dalam mimpiku. Firman. |
|
|
|
|
|
|
|
Wow! ada cerita baru... menarik...
|
|
|
|
|
|
|
|
Betapa anehnya, semenjak mengalami mimpi itu dan setelah kakiku sembuh, sering aku terpandang perlakuan, benda atau tempat yang mengingatkan aku kepada Firman. Petang tadi, aku sayu saat terpandang sebuah tembok batu berhampiran gereja Grossmunster. Di atas tembok yang menghadap Sungai Limmat itu pernah aku dan Firman duduk bersebelahan. Sangat jelas aku ingati momen itu sehinggakan aku masih boleh merasa manisnya sekotak rasberi yang kami berkongsi nikmati.
Aku teruskan langkah menjejaki denai memori yang menjadi saksi terjalin sebuah persahabatan tanpa prasangka. Inginku tuai semula saripati yang ada dalam setiap momen manis yang pernah hadir itu. Di atas tubir tinggi di sisi lain Sungai Limmat, ada sebuah kawasan redup yang dipayungi pohon kayu tinggi. Di situ aku dan Firman pernah beradu kepandaian bermain catur gergasi. Aku masih terbuai-buai keajaiban petang itu, sekumpulan burung-burung terbang bebas dan singgah di persekitaran berulang-ulang bagai ingin berkongsi keseronokan bersama kami.
Sorotan babak-babak di minggu-minggu lain satu persatu terimbau. Semuanya penuh makna. Kini, ada satu keinginan bersarang dalam sanubariku. Aku mahukan ia berulang dan Firman harus menjadi teman kembaraku, kembara hidupku. Seseorang yang aku ingin habiskan masa bersama. Tuturnya santun. Dia tahu batasan sejauh mana dia patut berkata. Dia bagai tahu diriku. Nasihatnya menjadikan aku lebih kuat untuk terbang menghadapi dunia dengan sepasang sayap yang kini tumbuh.
Setiap tuturnya menjadi sabda yang punya makna mendalam. Inginku ukir agar menjadi sebuah prasasti abadi. Kata yang paling terpahat kukuh ialah tentang kisah Rasulullah dgn Saidina Abubakar sewaktu melarikan diri dari kaum musyrikin ketika memulakan penghijrahan. Sewaktu bersembunyi di Gua Tsur, Baginda melihat Saidina Abubakar gusar. Lantas Baginda bersabda, janganlah gusar, antara kita berdua, ada yang ketiga. Saidina Abubakar bertanya siapakah yang ketiga itu. Rasulullah menjawab, yang ketiga itu Allah yang sedang melindungi kita. Firman ingatkan aku jangan sekali-kali lupa bahawa Allah sentiasa ada. Selalulah meminta kepada Allah untuk melindungi, setelah berikhtiar, seperti Rasulullah berikhtiar dengan melarikan diri ke kawasan bertentangan arah dari Madinah dan bersembunyi. Itulah sabda kasih Rasullulah yang kini terpahat utuh dalam nuraniku. Aku sepohon bunga yang mengharap pancaran sang suria. Setelah lama terpuruk layu dalam gerobok kelam, kini aku kembang mekar terkena simbahan sinar. Sinar itu adalah Firman. Gundahku telah sirna.
Namun, aku tersesat saat merentas mimpi bersama. Kini, aku dan dia terasing di liku berbeza. Aku bersalah. Aku menyeksa batinnya. Aku tidak menghormatinya. Aku harap aku masih punya tempat di hatinya. Cepat benar masa berlalu. Berbaki seminggu sebelum cerita kembaraku tamat. Mimpi ini bakal tiba ke penghujung. Aku membelek buku catitan kembaraku. Aku menelek coretan pada setiap lembaran, tertulis tarikh pada setiap permulaan hari. Bermula dari hari pertama aku tiba di Eropah, hinggalah ke tarikh semalam. Banyak pengalaman aku lalui. Banyak keindahan aku amati. Banyak emosi aku rasai. Banyak perkara aku pelajari. Dan dia banyak membantu aku melihat ke luar dan ke dalam. |
|
|
|
|
|
|
|
di mana lokasi cerpen ni ..?
Sungai Limmat ..
Grossmunster .. |
|
|
|
|
|
|
|
Di Switzerland, Belanda dan beberapa lagi negara di Eropah
|
|
|
|
|
|
|
|
Selembar kertas yang telah renyuk tidak akan pernah kembali kepada keadaan asal. Aku sedar aku bersalah. Aku telah menyeksa emosi dia. Aku tidak menghormatinya sebagai seorang sahabat. Apa harus aku perjelaskan agar dia dapat menerima tindakan aku tidak membalas sebarang mesej dan panggilannya. Patutkah aku menceritakan yang jujur sahaja? Pasti aku akan suatu hari, tapi tidak sekarang, tidak melalui mesej teks.
Aku mengambil telefon bimbit dan membaca semula rangkaian mesej-mesej teks yang aku terima darinya. Dari enam yang dihantar selepas hari kami pulang dari Zermatt, ada lima pesanan teks yang aku langsung tidak balas. Hanya satu yang berbalas dengan kata cukup ringkas. Hanya dua abjad yang aku kirimkan iaitu OK. Balasan untuk pertanyaannya mahu tahu keadaan aku. Mesej selepas itu berbau kata-kata kemaafan darinya. Sungguh kering hati aku waktu itu mesej-mesejnya itu aku abaikan. Firman, maafkan aku. Aku tidak mampu untuk mengawal igauan yang menghantui. Aku takut. Aku lemas. Aku cuma ingin bernafas.
Dia berhak untuk menghukum aku. Apakah aku masih punya tempat di hatinya? Sepanjang hari aku cuba menyusun ayat demi ayat untuk memperjelaskan apa yang sepatutnya dijernihkan. Biar ia kembali seperti dahulu. Entah di mana dia berada sekarang. Seandainya aku mampu undur semula waktu, pusingkan jarum jam, aku mahu kembali ke hari selepas kami pergi ke Zermatt. Dan mahu pastikan semua kekusutan ini tidak pernah bermula. Aku ingin hapuskan hari-hari yang telah dijalani selepas hari di Zermatt itu.
Setelah membaca berpuluh kali, aku siap untuk menghantarnya. Dari mesej yang asalnya berjela-jela, akhirnya menjadi satu perenggan sahaja. Ringkas, selamat, sekadar pembuka sebuah bicara. Aku ingin tahu dahulu reaksi dia. Aku harap dia masih Firman yang aku kenali selama ini. Aku harap hatinya masih sama. Aku harap rasa kecintaan dia terhadap perhubungan ini masih utuh, seutuh Puncak Matterhorn tempat dia pernah melafazkan janji. Aku menekan kekunci hantar pada skrin sentuh telefon bimibit.
"Assalamualaikum Firman, awak apa khabar? Saya harap awak sihat dan bahagia, seperti awak yang saya kenali selama ini, sentiasa bahagia dan membahagiakan. Saya ingin memohon seribu kemaafan kerana tidak membalas mesej dan tidak menjawab panggilan telefon. Ada sebab saya berbuat begitu. Tidak mampu saya jelaskan di sini. Mungkin suatu saat nanti Inshaa Allah. I am still in Zurich. I wonder your whereabout?"
Aku sisihkan telefon bimbit. Aku ambil buku catitan kembara yang berwarna ceria biru dan merah jambu bermotif belang zigzag dari dalam beg sandang. Simpulan talinya aku leraikan. Aku ingin mendapatkan semula gambaran realisitik perencanaan kembara aku. Setelah lima hari tergendala, aku ingin menghidupkan semula momentum yang telah mati. Baki hari-hari selanjutnya masih perlu perancangan. Kini cuma berbaki kira-kira seminggu sebelum cerita kembaraku ini tamat. Mimpi ini bakal tiba ke penghujung. Mimpi ini harus kulepaskan. Sudah cukup bersediakah aku untuk kembali ke realiti sebenar kehidupanku di tanah air nanti?
Cepat benar masa berlalu. Aku membelek buku catitan, dan memandang semula coretan pada setiap lembaran, tertulis tarikh pada setiap permulaan coretan. Bermula dari hari pertama aku tiba di Eropah, hinggalah ke tarikh semalam. Banyak pengalaman yang telah aku lalui sepanjang tempoh itu. Banyak tempat yang aku lihat. Banyak emosi yang aku rasai. Banyak perkara yang aku pelajari. Dan Firman adalah orang yang banyak membantu aku untuk belajar melihat. Melihat ke luar dan ke dalam.
Dari tadi, hatiku berdebar-debar menunggu bunyi indikasi mesej teks. Selepas hampir satu jam, masih tiada bunyi indikasi itu. Mungkinkah dia sedang dalam pesawat menuju pulang ke tanah air? Aku menyedapkan hati. Aku mengambil semula telefon yang aku campakkan tadi ke atas katil bercadar putih itu. Memang betul tiada mesej baharu yang diterima, aku sepertinya berharap andai terlepas dengar bunyi indikasi. Aku hampa. Selalunya aku terima balasan sepantas kilat dari Firman. Bagaikan dia sudah siap menulis apa yang ingin dibalas sebelum dia menerima mesej aku.
Aku kemudian beralih membaca semula isi mesej teks yang dihantar oleh Madina Huda siang tadi. Setelah diamati, salah satu bunyi mesej itu agak tersirat.
"Yani, jika kamu datang ke Eropah untuk mencari sesuatu yang telah kamu hilang, aku sarankan kamu coba untuk membuka dan memberi peluang meskipun ia masih asing."
Entah apa sebenarnya maksud kata-katanya itu. Seperti ada yang tidak kena. Petang tadi aku memberitahu dia tentang perancanganku untuk kembali ke rumahnya di Belanda pada hari lusa. Aku mahu habiskan kira-kira enam hari di sana bersamanya.
Sebelum terlupa lagi, esok ada satu perkara penting yang aku harus buat sebelum mengucapkan selamat tinggal Switzerland. Aku ingin ke kawasan membeli-belah sepanjang Jalan Bahnhofstrasse untuk membeli hadiah buatnya. Ya, untuk dia aku mahu berikan hadiah yang istimewa, bukan sekadar buahtangan berupa magnet petisejuk atau seumpamanya. Hadiah itu pengikat jiwa. Untuk orang yang istimewa harus hadiahnya istimewa.
Aku masih juga belum menerima balasan mesej dari Firman saat aku ingin melelapkan mata. Andaikan dia sedang berada dalam pesawat, esok pasti tatkala aku buka mata mesejnya telah ada dalam telefon bimbitku. Ataupun seandainya dia sudah berada di Malaysia, waktu sekarang dia masih lagi tidur. Sejam dua lagi pasti ada mesej darinya. Aku mahu lelapkan mata, rehatkan rohku, mahu berhenti menyeksa diri tertunggu-tunggu dalam debar. Esok saat aku membuka mata, aku yakin pasti ada mesejnya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|