SETIAP perkahwinan orang Islam di negara ini mesti diakadnikahkan mengikut hukum syarak. Ini kerana pernikahan menjadi asas kepada hak orang berkahwin dan zuriat yang bakal dilahirkan daripada perkahwinan tersebut.
Semua perkahwinan orang Islam di Malaysia mesti didaftarkan dan proses pendaftaran mengikut enakmen negeri masing-masing.
Misalnya di Selangor, menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003, sebelum suatu perkahwinan itu didaftarkan pasangan perlu membuat beberapa perkara untuk membolehkan majlis akad nikah dapat dijalankan mengikut hukum syarak.
Ini termasuk mengisi borang yang ditetapkan. Di Selangor, diperuntukkan dalam seksyen 16, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 seperti berikut, antaranya:
1. Permohonan kebenaran berkahwin bagi kariah masjid di mana pihak pengantin perempuan bermastautin.
2. Jika pihak lelaki bermastautin di kariah masjid berlainan daripada pihak perempuan, dia perlu menyertakan kebenaran tersebut daripada kariah masjidnya atau pihak berkuasa bagi negerinya.
3. Permohonan setiap pihak perlu disampaikan kepada pendaftar (imam mukim) sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh dicadangkan bagi perkahwinan itu.
Tujuan utama permohonan kebenaran ini ialah untuk memastikan perkara-perkara berikut:
1. Pasangan yang ingin berkahwin merupakan pasangan yang layak berkahwin secara sah.
2. Jika lelaki yang telah berkahwin, permohonan untuk berpoligami telah dibuat di Mahkamah Syariah dan jika pengantin lelaki belum berkahwin, dia perlu disahkan bujang oleh seseorang yang boleh berbuat demikian.
3. Wali yang akan mengahwinkan pasangan adalah wali yang sah.
Mengikut seksyen 22 enakmen itu:
1. Selepas sahaja akad nikah perkahwinan, pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir yang ditetapkan termasuk taklik yang ditetapkan
2. Catatan itu hendaklah disahkan oleh wali, dua orang saksi, selain daripada pendaftar yanghadir semasa perkahwinan itu.
3. Catatan itu hendaklah ditandatangani oleh pendaftar itu.
Menurut seksyen 26 enakmen itu:
1. Selepas mendaftarkan sesuatu perkahwinan, pendaftar hendaklah mengeluarkan surat perakuan nikah kepada kedua-dua pihak dalam perkahwinan itu termasuk surat perakuan takliq.