View: 10212|Reply: 27
|
Cerpen: Baju Melayu Hijau Serindit (TAMAT)
[Copy link]
|
|
Edited by NaylaArisha at 3-8-2016 12:48 PM
aku rajin sikit kali ni nak karang satu cerpen(mungkin sesuai untuk contest ramadhan raya)..sapa yang dah muak tu, sila muntah ya..baca kisah mod @BabeSYHa , teringat pada satu kisah kat kampung aku..
kisah benar tapi aku taruk perencah serba sedikit..
selamat membaca ya........tak panjang..3-4 post saja..
KAMPUNG SIREH SEHELAI
JAUH Joyah termenung di anjung rumah yang terletak di tepi sawah. Angin lembut yang nyaman dan sejuk menerpa lembut ke wajah tuanya. Sesekali Joyah membuang pandang pada sawah padi yang menghijau. Tak lama lagi akan berbunga. Musim padi di kampung Sireh Sehelai itu memang menjadi sehinggakan pihak BERNAS pun sudah memberi kerjasama dan bantuan untuk penduduk kampung mengusahakan padi setiap tahun. Jauh mata yang redup itu merenung padi yang meliuk lentuk ditiup angin petang. 'Orang-orang' yang dipacak di tengah sudah lusuh dan mungkin selepas padi mula menguning, 'orang-orang'itu akan ditukar. Selalunya dulu, Rozman yang buat tetapi sejak Rozman sudah lama tidak pulang ke kampung,'orang-orang' itu seakan terbiar saja. Jarang anak muda lain yang hendak menukar baju patung itu. Baju kurung yang sudah tidak dipakai oleh kakak-kakaknya lah yang menjadi mangsa untuk dipakaikan pada patung 'orang-orang' itu.
Iris mata Joyah jatuh pula pada sepasang baju melayu yang sudah siap dijahit semalam. Warna hijau serindit kegemaran Rozman dengan tengkuk cekak musang itu memang padan dengan warna kulit Rozman yang putih. Tidak seperti Ayu dan Ida, keduanya berkulit agak gelap mewarisi dari gemulah suaminya. Hanya Rozman dan Risya saja yang berkulit cerah.
Menitis air mata mengenangkan Rozman yang meninggalkan kampung Sireh Sehelai itu membawa rajuk. Rajuk seorang lelaki yang sukar dipujuk. Ingatkan dia sudah kenal hati budi dan perangai anak lelakinya tetapi ternyata seorang ibu tidak semestinya tahu serba serbi tentang anaknya. Kepulangan Rozman ke kampung lima tahun lepas itulah yang membuatnya tidak kenal siapa Rozman yang sebenarnya. Kalau ikutkan hati mahu saja dihalau semula keluar dari kampung. Mengenangkan itulah satu-satunya anak lelaki yang ada, dipendamkan saja rasa itu. Terpaksa pula menadah telinga mendengar umpatan orang kampung yang sememangnya bermulut longkang. Kalau boleh cerita dalam kelambu pun mereka hendak ambil kepoh!
"Mak, sudahlah tu. Abang akan balik jugak nanti."Risya pandang pada baju melayu hijau serindit yang digenggam ibunya. Keluhan dilepaskan. Setiap tahun, sepasang baju melayu hijau serindit akan dijahit khas untuk abang Rozman.
Joyah masih tidak mengalih mata dari sepasang baju melayu itu. Benaknya pula masih memikirkan hal Rozman. Sapaan Risya tadi langsung tidak memudarkan ingatannya pada anak lelakinya yang sejak lima tahun lepas membawa diri tiada khabar berita. Puasa kali ini pula, sudah masuk tahun kelima tanpa Rozman. Anak lelaki yang diharapkan untuk menjaga dan membantu keluarga. Hanya pada Rozman saja harapannya untuk bergantung hidup. Ayu dan Ida sudah bersuami dan tinggal jauh dari kampung. Risya pula masih belajar di universiti.
"Mak, berbuka nanti nak masak apa?" Risya melabuhkan punggung di sebelah ibunya.
Joyah mula menoleh. "Dah separuh bulan puasa Sya. Abang Man kamu tak juga nampak batang hidung. Merajuk benar dia dengan mak.."
Risya tunduk. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab ibu. Namun dia faham hati seorang ibu yang sayangkan anak. Anak yang dikandung, dibesarkan dan diberi pendidikan. Alih-alih, ini balasan abang Rozman pada keluarga. Sejak ayah meninggal dipatuk ular tedung dulu, sikap abang Man mula berubah. Entah mana silapnya. Namun dia syak, sikap Abang Rozman berubah sejak dia bekerja di Kuala Lumpur. Tahun pertama kerja, Abang Rozman masih lagi pulang tiga bulan sekali menjenguk ibu tapi masuk tahun seterusnya, langsung tidak nampak batang hidung. Apakah kerana dimarahi ibu sehari sebelum raya dulu, Abang Rozman nekad untuk tinggalkan kampung?? Tinggalkan ibu??
"Mak, Sya kenal abang Man tu. Dia mungkin keliru dengan diri dia mak.." Risya paut lengan ibunya dan mengusap lembut.
"Entahlah Sya. Mak tak faham. Susah payah mak besarkan dia, macam ni dia balas. Mana mak nak letak muka? orang kampung semua bercakap pasal dia. Malu mak!" Mata Joyah sudah berkaca.
"Kita berdoa sajalah mak supaya abang Man berubah. Semalam, kak Nisah tanya Sya pasal abang Man. Rupanya dia dah lama tunggu abang Man. Bila Abang Man balik dulu, kak Nisah tak sabar datang rumah kita tapi tulah..kesian kak Nisah. Dua minggu jatuh sakit disebabkan abang Man tu.." Risya berterus terang.
"Mak harap Nisah tu tak bencikan abang Man kamu. Kalau gemulah ayah kamu masih ada, mak tak tahulah nasib abang Man kamu tu. Mahu dibantai sampai lumat." Joyah masih tidak dapat menerima kenyataan yang Rozman sudah berubah sikap.
Risya diam. Sebenarnya bukan salah abang Rozman seorang saja. Kak Ayu dan kak Ida juga bersalah dalam hal ini. Gemulah ayah dulu selalu melarang tapi bila ayah tidak ada di rumah, semakin menjadi perangai buli kak Ayu dan Kak Ida pada Abang Rozman yang merupakan anak ketiga dalam keluarga dan satu-satunya anak lelaki yang ada.
"Sudahlah..kita berdoa je mak. Setiap kali lepas solat, kita panjatkan doa supaya Allah bukakan pintu hati abang. Emm..hari ni Sya masak ikan kembung goreng kicap dan sayur bayam sajalah mak ya. Itu aje yang ada. Kalau ada cili padi lagi kat pokok belakang rumah, Sya boleh buat sambal belacan." Risya bingkas bangun. Jam sudah hampir 5 petang. Satu lauk pun tak dimasak lagi untuk berbuka.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
alahai... kesiannya... apalah yg dh terjadi sebenarnya... thanks for the new story @Ipo
|
|
|
|
|
|
|
|
KUANTAN
JARI tangan yang runcing itu dibelek-belek. Satu sapuan pewarna kuku berwarna merah gelap dileret pada kuku yang panjang lalu ditiup perlahan. Selesai semua kuku diwarnakan, kesemua jari itu dibelek-belek lagi. Tersungging dua bibir merah menyala memandang kecantikan kuku yang sudah siap.
"Amboih Peah! Kemain kau kan! Semalam warna lain, hari ni warna lain. Eh Peah, sekarang ni orang dah tak pakai warna plain gitu, orang dah pakai macam yang aku pakai ni haaa." Suzy tayang kesepuluh jari tangannya di hadapan Peah.
Peah menjuih. "Ala, setakat cat dengan bunga-bunga tak cukup sifat tu, baik aku cat macam ni. Tak semenggah nyah aku tengok!"
Suzy ketawa kecil. Dia duduk di atas kerusi mengadap cermin besar. Rambut perang yang mengurai melepasi bahu diirai-irai lembut dengan sikat. Sesekali dia melihat Peah yang mula mewarna kuku jari kaki pula. Itulah aktiviti mereka bila tiada pelanggan yang datang.
"Peah, kau rasa mana Rozy hilang ek?" Suzy pandang Peah melalui cermin. Tangannya masih menyikat rambut. Mata tidak lepas memandang Peah yang asyik mengecat kuku. Kaki diletakkan di atas kerusi empat segi. terbongkok-bongkok Peah.
"Peah!!"
Peah mendongak. "Ish! kau ni! Kan dah terkeluar suara jantan kau tu! Malu tau! Cuba kau kawal sikit suara kau tu...."
Suzy terus menekup mulutnya. Dia pandang sekitar salon itu. Kak Yam, tukang cuci salon itu sudah tersengih-sengih di tepi pintu toilet yang sedang dicuci.
"Ni, udoh lama akak nak cakap kat kome berdua ni. Ate, kalau kome berdua ni tukar penampilan jadi lelaki sejati, akak percaya, berbondong-bondong perempuan di luar sana nun yang nak kat kome. Apa, kome tak ndak ke?" Yam pandang Peah dan Suzy yang sudah berubah riak. Sejak bekerja di salon ini, boleh dikatakan hari-hari mulutnya berleter. Mujurlah Peah dan Suzy tidak pernah ambil hati dan tak pula memarahinya tetapi bebelannya kali ini rasanya mungkin membuatkan tangkai hati Peah dan Suzy tersentap!
"Ala kak Yam, jiwa kami ni perempuan. Hati perempuan...kenn???" Suzy jeling pada Peah yang sudah selesai menyapu pewarna kuku.
"Kak Yam buat je kerja kak Yam tu. Tak payah nak sibuk hal kami." Peah yang mula bangun betulkan urat badannnya mula mencelah.
"Allah dah jadikan kamu sebaik-baik kejadian. Bersyukurlah. Akak bukan nak jadi penyibuk tapi sekadar nasihat. Kita mati ni bila-bila masa. Sekarang ni pun boleh mati kalau Allah nak ambil balik nyawa yang Dia pinjam kat kita. Dah mati, nak solat jenazah, ikut cara untuk lelaki ke perempuan? Nak mandikan dan kapan cara lelaki ke perempuan?" Tempelak Yam.
Terdiam Peah dan Suzy.
"Akak ni bukan apa..mati ni bila-bila masa dik. Kamu jangan pulak ambil hati kata-kata akak ni. Nasihat ni untuk akak jugak. Kennn?" Yam jeling Peah dan Suzy dengan wajah tersenyum sinis. Meniru gaya cakap Suzy.
"Jadi, akak judge kami ni berdosa la? Gitu?" Peah tak puas hati.
"Bukan..dosa pahala hanya Allah yang tentukan tapi kalau dah terang-terang buat dosa, sudah tentulah akak tegur. Ni, puasa tak kome berdua ni?" Wajah Peah dan Suzy sudah merah."Kome jangan cakap yang kome datang bulan pulak?"
Menjuih-juih mulut Peah dan Suzy mendengar bebelan Kak Yam si tukang cuci.
"Bulan baik ni..eloklah muhasabah diri. Tengok Rozy tu..lepas accident, terus berubah. Ate, kome berdua ni nak tunggu kena kemalangan dulu ke baru nak berubah?" Yam menggeleng. Dia menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Baldi diangkat dan dia menapak pula ke bahagian depan salon untuk mencuci.
Suzy pandang Peah yang sudah mengetap bibir. Dia tahu, Peah tak suka kalau Kak Yam membebel hal peribadi mereka. Kalau membebel hal kebersihan, telinga mereka boleh terima lagi. Boleh tadah seluasnya.
"Ala kak Yam, Rozy tu lagi teruk dari kita orang tau! Dua-dua dia sapu! Baik konon!" Cebik Peah, kali ini dengan perasaan meluat.
"Akak tahu..tapi sekurang-kurangnya dia dah berubah. Baru minggu lepas kak Yam jumpa dia kat kedai Mak Siti nasi kerabu tu. Oih...hampir tak percaya akak. Ate, kalau kome nengoknya, tahulah kome nanti. Melopong mulut! Masuk lalat pun tak sedor gamaknya ya?" Sindir Yam dari muka pintu depan pula, menyambung bebelannya. Dia tahu, pantang Peah dan Suzy nampak lelaki handsome. Harus digoda sampai dapat!
"Kak Yam saja buat cerita kan? Nak suruh kita orang berubah kan? Kami tak percaya la cerita rekaan kak Yam tu. Rozy tu, dengan lenggok lembut gitu..auwww sangat!" Peah menjeling tajam pada Yam.
"Habis kamu tu tak auwww ke?" Sindir Yam lagi.
"Peah..aku rasa...cakap kak Yam tu ada betulnya. Kau tengok Rozy tu. Lepas accident hari tu, dia tak nak kerja kat salon ni dah. Dah tu, siap pindah rumah. Terus hilang tanpa khabar berita. Nyah, kau rasa dia dah betul-betul berubah ke?" Suzy cuit lengan Peah yang masih berdiri, tidak berganjak dari situ.
"Ah! Aku malas lah layan minah tu. Dia nak pergi ke neraka sekali pun, lantak dialah!" Peah bingkas bangun dan mula tersenyum pada pelanggan yang mula menapak masuk untuk mencuci rambut.
Suzy masih diam memikirkan kata-kata kak Yam tadi. Bagai terbayang-bayang jasadnya nanti bila meninggal. Apakah nanti jasadnya diterima bumi??Bila memikirkan Rozy, dia masih keliru. Apakah Rozy sudah benar-benar berubah? Kalau benar Rozy sudah berubah, ingin saja dia mencari Rozy untuk meminta pandangan dan nasihat dan kalau boleh ingin kembali ke jalan lurus, bukan lagi bengkang bengkok. Mengingatkan kata-kata Kak Yam tadi tentang mati, jenazah, kapan, terasa badannya menggeletar.
"Suzy, jari kau terketar-ketar tu dah kenapa?" Peah perasan Suzy tidak berkutik di atas kerusi. Pucat dan menggeletar.
Suzy menelan liur. Dia pandang Peah yang sedang mencuci rambut pelanggan. Peah dipandang tak berkelip. Dia, Peah dan Rozy bertemu ketika masing-masing sedang mencari kerja. Hasil usaha mengumpul modal bersama, mereka bertiga berpakat membuka salon. Tambah lagi mereka bertiga satu kepala. Sejak Rozy meninggalkan rumah sewa mereka, sejak itulah jiwanya mula tidak tenteram. Sengaja dia tidak tunjuk di depan Peah.
"Suzy!" Peah menoleh. Wajah Suzy semakin pucat. Apa kena pulak dia ni?
Suzy masih diam. Lama dia berjeda. Otak sarat memikirkan hal Rozy dan kata-kata kak Yam. Semuanya bertindan-tindan dalam kepala. Mana Rozy menghilang???
|
|
|
|
|
|
|
|
KUALA LUMPUR
ROZMAN menghabiskan ayat terakhir surah Al Baqarah. Quran terjemahan yang dibaca tadi disimpan semula di atas meja. Sejadah dilipat dan diletakkan di tempatnya. Kakinya melangkah ke tepi tingkap. Dari celah cermin tingkap nako itu, dia melihat orang ramai sedang berpusu-pusu mengunjungi bazar ramadhan untuk mencari juadah berbuka.
Begitulah suasana setiap petang dalam bulan puasa sejak setahun lalu. Ya, pejam celik sudah setahun rupanya dia menjadi penghuni di pangsapuri itu yang terletak di pinggir bandar. Dari arah tingkat 2, setiap petang dia menghidu bau harum masakan dari juadah berbuka puasa yang dijual di bazar ramadhan itu.
"Man, kau dah solat?"
Rozman yang ralit memandang ke arah tingkap mula berpaling. Bibirnya mengukir senyum lalu dia mengangguk.
"Alhamdulillah..maaf aku lambat hari ni. Ada kerja nak buat tadi. kalau tak, boleh kita berjemaah Asar tadi.." Salleh turut mengukir senyum.
"Apa kau beli tu?" Rozman pandang bungkusan di tangan Salleh.
"Ni, ikan kerapu. Aku ingat nak suruh kau masak tiga rasa atau masak kukus ke. Kau kan pandai masak. Sedap masakan kau!" Puji Salleh.
Rozman hanya melemparkan senyuman kelat. Ya, sejak usianya sembilan tahun lagi, dia sudah pandai memasak. Apa tidaknya, setiap kali dia pulang dari sekolah, kakaknya selalu menyuruhnya memasak. Sudah tu pulak, bila sudah siap, diberitahunya pada ibu yang masakan itu semuanya mereka yang masak! Bukan itu saja, dia juga sering dibuli kakak-kakaknya untuk membuat kerja rumah. Siapa yang tidak bengang?? Walaupun begitu, dia bersyukur kerana kini dia sudah mahir memasak, pandai mengemas rumah dan ditambah lagi dia sudah mula pandai menjahit.
"Aku masak biasa je.." Rozman merendah diri.
Petang itu, Rozman ke dapur menyediakan juadah berbuka. Salleh hanya menolong mana yang patut. Masuk waktu berbuka, mereka berdua bersama berbuka dan menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum ke surau berdekatan untuk menunaikan solat terawih pula.
USAI solat terawih, Salleh mengajak Rozman menikmati rojak buah di warung Pak Ali. Rozman hanya mengikut rentak Salleh. Satu pinggan rojak buah yang dipesan dimakan dengan begitu berselera. Rozman tertancap pada seorang ibu tua yang sedang menyuap makanan ke mulut anak lelakinya. Lama dua beranak itu diperhatikan. Terasa panas pipinya.
"Man, kau ni kenapa?" Salleh perasan ada titis jernih mengalir di pipi Rozman.
"Aku teringat kat mak aku. Dah lama aku tak jenguk dia..entah sihat ke tak.." Sebak suara Rozman saat nama mak disebut.
"Man, aku rasa baik kau pulang raya ni. Dari cerita kau dulu tu, aku rasa baik kau jenguk mak kau. Lupakanlah apa yang dah berlaku. Kau pun dah berubah jadi baik. Kau dah tak terjebak dah dengan kerja terkutuk tu dulu. Aku bangga dengan kau Man, kau sanggup berubah walaupun payah." Salleh memberi semangat. Dia tahu lelaki yang duduk di depannnya ini sangat sukar untuk dilentur ketika mula-mula dia bertemu dulu.
"Leh, terima kasih tolong aku. Beri aku duduk kat rumah kau. Hutang bil hospital tu nanti, aku akan bayar balik pada kau." Menitis lagi air mata jantannya mengenangkan kebaikan Salleh.
Sungguh dia tak sangka, wujud lagi manusia baik seperti Salleh. Pada mulanya dia sangsi untuk terima pertolongan Salleh. Namun melihat kesungguhan Salleh ingin membantunya, dia mula percaya, mungkin itu jalan yang Allah tunjuk padanya untuk berubah.
"Sudahlah. Aku ikhlas tolong kau. Yang penting sekarang ni, kau dah berubah. Hanya satu je yang aku harap kau buat....jenguk mak kau."
Rozman mengangguk lemah.Matanya kembali dihala pada dua beranak tadi. Rindunya pada ibu sudah tidak dapat ditahan lagi. Mahu saja dia pulang ke kampung sekarang juga tetapi bila memikirkan kekangan kerja, dia terpaksa tangguhkan dulu. Cuti hari raya sudahpun dipohon selama seminggu.
"Leh, kau tengok budak tu.." Rozman muncungkan mulutnya pada budak lelaki di sebelah wanita itu tadi.
Salleh menoleh. "Kenapa dengan budak tu?"
"Baju melayu yang dipakai budak tu warna hijau serindit. Itu warna kegemaran aku. Mak aku setiap tahun buatkan baju melayu hijau serindit tu untuk aku. Kali ,terakhir aku pakai masa ayah aku meninggal. " Rozman berkata sebak.
"Aku rasa tentu raya tahun ni pun mak kau siapkan baju melayu hijau serindit tu untuk kau. Pulanglah Man..syurga bagi anak lelaki ni..di bawah tapak kaki mak." Ujar Salleh.
Rozman semakin sebak. Mahu saja dia menangis dan meraung tetapi cuba ditahan. Dia bukan berada di dalam bilik sekarang ini, ini warung dan dipenuhi ramai pelanggan yang datang menikmati rojak buah di situ.
"Dah, jom balik. Tidur awal, malam nanti aku kejut kau untuk qiammullail.." Salleh bangun dan membayar rojak buah di kaunter sebelum dia dan Rozman kembali ke pangsapuri.
|
|
|
|
|
|
|
|
Allah...pagi2 dh potong bawang.... |
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Ipo at 25-7-2016 10:39 AM
"WASALAMUN ala mursalin wal hamdulillahhirrabbil alaminnn.."
Usai berdoa, Salleh menoleh. Masa berdoa tadi lagi telinganya dihidang dengan suara tangisan yang teresak-esak. Rozman sudah terhenjut-henjut bahunya dengan tapak tangan menutup muka.
"Man.."
Perlahan Rozman melepaskan tangannya dari muka. Dia masih menunduk. Berjurai air mata membasahi pipi. Hidung yang berair disapu dengan hujung lengan baju melayu yang dipakainya.
"Leh..Allah terima ke taubat aku? Aku dah banyak tinggalkan solat. Sempat ke aku qadha solat aku?" Tanya Rozman, tersedu-sedu.
"Man...Allah maha pengampun. Kau dah kembali pada fitrah dan kau dah lakukan semampu yang ada. Jangan putus asa. Teruskan istiqamah. Yakin dan percaya pada Allah." Nasihat Salleh yang entah ke berapa kali dan entah ke berapa kali juga Rozman bertanya soalan yang sama padanya.
Rozman hanya mengangguk. "Maaf Leh..aku ni selalu tanya pasal ni. Aku takut..Allah tak ampunkan dosa aku..."
Salleh mengukir senyum. Dia tahu Rozman sudah bertaubat nasuha dan setakat ini, satu waktu solat pun belum ditinggalkan lagi malah setiap kali selesai solat wajib, Rozman akan qadha pula solat yang ditinggalkannya dulu.
"Yakinlah dan yang penting kau jangan ulangi lagi perkara tu. Dah..aku kena siap ni nak kerja. Kau tak kerja ke hari ni?" Salleh bingkas bangun setelah bersalam dengan Rozman.
Rozman mengangguk. "Oh ya, aku lupa. Minggu ni sebelum balik cuti raya, aku kena outstation ke Kuantan."
"Baguslah..jaga solat dan aku harap kau tak terjebak lagi dengan perkara lepas tu...maksud aku..tak terpengaruh balik. Kan kau dulu ada kawan satu geng kat Kuantan tu?" Salleh merasa sedikit risau.
"InsyaAllah Leh. Aku akan jaga semua tu. Aku dah nekad dan aku dah berubah."Rozman mengukir senyum.
KUANTAN
DI PEJABAT pembinaan, Rozman bersungguh menyampaikan cadangan projek dari kertas kerja kepada semua pekerja di dalam bilik mesyuarat itu. Selama seminggu itulah dia bertungkus lumus memberi penerangan dan melawat tapak sambil membentangkan pelan bangunan yang bakal dibina. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan yang paling dia gembira, pelan cadangan itu diterima baik oleh mereka. Mesyuarat bersurai.
"Emm..you ni macam pernah nampak.."
Rozman mendongak. Tangannya yang ligat mengemas kertas kerja dan pelan bangunan di atas meja terhenti sebentar. Wajah gadis yang berdiri di sebelahnya itu dipandang agak lama. Dia cuba mengenalpasti siapa pemilik wajah yang menegurnya tadi. Dia perasan gadis itu asyik memandangnya tidak berkelip. Malah dia juga perasan ada seorang pekerja lelaki yang juga bersikap sama seperti gadis itu. Memandangnya dengan tenungan yang penuh makna.
"Maaf..saya tak kenal cik..kita ada pernah jumpa ke?" tanya Rozman pula.
"Kau pernah jadi bapuk dulu kan?"
Terkejut Rozman mendengar terjahan suara yang tiba-tiba mencelah dari arah pintu bilik mesyuarat yang masih terbuka luas. lantas dia berpaling. Ya, itulah lelaki yang selalu merenungnya sepanjang dia bekerja di pejabat ini selama seminggu ini. Senyuman lelaki itu cukup sinis.
"Maaf Farid! Kau salah orang!"
Kali ini Rozman pula mengalih mata pada gadis yang menegurnya tadi dengan wajah keliru. Gadis itu cuba pertahankkannya.
"Man..kau tak kenal aku? Aku Hani..kawan sekolah kau dulu."
Rozman diam. Dia kembali menyambung mengemas namun dalam hatinya sudah resah gelisah. Wajah Hani dipandang sesekali. Cuba mengingati wajah manis gadis itu. Adakah itu Nur Hani Ahmad?? Gadis yang sering memberinya surat cinta dulu???
"Saya balik dulu." Rozman segera melangkah keluar,tergesa-gesa. Fikirannya sudah bercelaru.
"Rozman tunggu!!"
Langkah Rozman makin laju.
|
|
|
|
|
|
|
|
i likeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeee
|
|
|
|
|
|
|
|
orang kata, sila letak bawang putih kat hujung mata pisau untuk tak pedih mata bila potong bawang merah
|
|
|
|
|
|
|
|
dah sambung mie....
terima kasihlah jenguk tred cheq ni..
sekadar berkongsi cerita dgn pembaca
|
|
|
|
|
|
|
|
Hani mengejar Rozman yang semakin laju meninggalkan pejabat itu. Dia perlu bersemuka dengan lelaki itu yang menghilang tanpa khabar berita sejak keputusan SPM diumumkan dulu. Jenuh dia merisik dari kak Ida dan Kak Ayu pasal Rozman. Malah pada mak Rozman pun, dia pernah bertanyakan hal Rozman tentang universiti yang dipilih lelaki itu. Haram diorang nak jawab.
"Man!" Hani semakin laju mengejar Rozman yang ternyata langsung tidak menoleh padanya. Rozman dilihat sudah melangkah keluar dari bangunan pejabat menuju ke tempat letak kereta.
Rozman tidak hiraukan laungan Hani. Padanya, tidak perlu dia membalas apa jua rasa Hani padanya. Hani tidak perlu tahu sejarah hidupnya selepas tamat SPM dulu. Biarlah kenangan hitam itu dikambus sedalam mungkin. Sampai di kereta, cepat-cepat Rozman membuka pintu kereta. Cepat-cepat pula Rozman masuk ke dalam perut kereta. Namun dia terpandang dua orang yang amat dikenalinya sedang bergelut dengan lelaki berhelmet dari atas motosikal. Kelihatannya seperti peragut.
"Aku kena tolong!" Rozman menapak keluar dari kereta semula dan berlari ke arah mereka.
"Hoi!" Satu tendangan kuat ke atas tubuh lelaki bertopi keledar itu tepat mengenai bahagian dada. Lelaki itu jatuh tercampak dari motosikal.
Lelaki itu cuba untuk bangun dan melawan. Satu lagi tendangan singgah di bahagian sulit dan kali ini ditambah penumbuk sulung di muka. Sekali lagi lelaki itu rebah mencium tar. Beg tangan yang turut tercampak itu dicapai.
"Nah! Lain kali jangan nak mengada bawa beg sambil berlenggang mak minah!" Rozman hulur beg.
"Ro...kau Rozy, kan?" Suzy dari tadi cuba mengamati wajah lelaki yang cukup tampan itu. Dari gaya berlawan tadi, langsung dia tidak mengenali pada mulanya. Terpegun dan terpesona dengan kekacakan dan sikap macho lelaki yang menolong mendapatkan begnya tadi. Namun setelah mata bertentang, barulah dia sedar.
"Aku Rozman. Aku akan jadi kawan kau kalau kau dah jadi Suzuki dan kau.." Rozman pandang pula pada Peah yang tidak berkedip mata memandangnya. "Supian, aku harap kau pun berubah. Aku pergi dulu."
"Tunggu!" Suzy pegang tangan Rozman.
HANI yang mengejar Rozman dari tadi tiba-tiba terpaku melihat apa yang berlaku di depan mata. Seorang 'gadis' yang cukup cantik dan seksi sedang memaut lengan Rozman dan ditemani seorang lagi 'gadis' cantik yang berambut perang dan tinggi lampai. Keliru seketika melihat kemesraan kedua 'gadis' itu berbual dengan Rozman, seolah sudah lama kenal antara satu sama lain.
"Jadi..betullah kata Farid tadi.." Perlahan nada Hani, mata masih tidak lepas dari melihat ketiga insan di depannya. Dia cepat-cepat palingkan wajahnya sebaik sahaja Rozman memandang ke arahnya. Langkahnya diatur lemah menuju ke bangunan pejabat semula.
"Hani!"
Terasa lengannya dipegang seseorang. Hani berpaling. Rozman.
"Tolong jangan salah faham." Rozman pandang Hani yang sudah berubah riak. Hani masih diam membisu. "Saya bukan seperti tu..."
Hani rentap tangannya dan menyambung langkah menuju ke pejabat dengan satu rasa yang aneh dalam dirinya. Rozman hanya kaku berdiri di situ. Dia menghela nafas berat. itulah ujiannya yang perlu dihadapi. Langkahnya juga diatur menuju ke kereta semula.
|
|
|
|
|
|
|
|
nampaknya ni dah bukan 3-4 post dah ni...
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Ipo at 26-7-2016 08:06 PM
KAMPUNG SIREH SEHELAI
SUASANA petang hari itu agak meriah. Lauk untuk berbuka sudah siap dimasak. Joyah pandang setiap anak-anaknya yang sedang memasak untuk juadah hari raya esok pagi. Hari ini hari terakhir mereka sekeluarga berpuasa. Risya sibuk mengacau rendang ayam. Ida pula pulang bersama suaminya beraya di kampung ini. Kali ini giliran Ida beraya di sini. Tahun lepas, Ida beraya di kampung suaminya di Terengganu. Ayu pula, esok pagi baru sampai di rumah katanya dalam perbualan telefon semalam. Hanya satu wajah saja yang masih ditunggu sehingga kini. Wajah anak lelaki yang terlalu dirinduinya.
"Mak...mak ingatkan Man eh?"
Joyah cepat-cepat menyapu air mata. Dia berpaling. Ida sudah duduk di sebelahnya sambil meriba si kecil yang baru berusia enam bulan. "Mana suami kamu?"
"Dia ke bazar ramadhan tadi. Katanya teringin nak minum air soya."
"Oh.." Joyah membuang pandang pada halaman rumah. Terbayang-bayang wajah Rozman sedang tersenyum padanya sambil melambai-lambai. "Man dah balik ke?"
Ida yang leka melayan anak kecilnya turut panjangkan leher melihat apa yang ada di halaman rumah. Matanya liar mencari kelibat Rozman, adik lelakinya. "Mak, mana ada! Mak ni..fikir sangat pasal Man pun. Dia dah tak ingat kat kita la mak."
"Salah kamu la Ida! Ayu pun sama! Korang suka buli adik kamu tu!" Joyah melepaskan geram.
"Eh, salahkan Ida pulak. Buli apanya? Takkan setakat suruh bersihkan rumah, cuci pinggan, masak tu pun tak boleh??" Ida pertahankan tindakannya dulu.
"Bukan itu maksud mak! Kau dan Ayu tu suka sangat paksa Man tu pakai baju perempuan. Dah tu, korang makeup kan muka si Rozman tu. Sekarang apa dah jadi?? Disebabkan koranglah, Rozman tu jadi macam tu!!"
Ida diam. Ya, tak sangka Rozman benar-benar berubah menjadi perempuan. Pertama kali melihat adiknya pulang ke kampung dulu. Masih terbayang wajah Rozman yang berkulit putih itu dihiasi dengan bedak dan pemerah pipi walaupun tidak disapu gincu pada bibir yang sudah sedia merah. Walaupun pakaian Rozman tidak ketara ke arah perempuan tetapi cara percakapan dan lenggok jalannya sudah ke arah itu.
Memang dulu dia dan kak Ayu sangat cemburu pada Rozman yang berkulit putih, tinggi lampai. Sehingga timbul idea untuk mengenakan Rozman dengan memaksa Rozman berpakaian seperti perempuan dan disapu solekan pada wajah adiknya.
"Tapi mak..kenapa Rozman tu kadang-kadang berubah? Suami saya pernah nampak Man tu pakai jaket hitam dan seluar jeans. Macam lagak samseng!" Ida masih keliru. Ya, pada mulanya dia tak nak percaya tetapi bila ditunjukkan gambar yang sempat diambil oleh suaminya dulu, dia tidak boleh menafikan lagi.
"Entahlah..mak harap sangat Man kembali pada asal. Dia kembali pada Rozman yang mak lahirkan, yang mak kenal!" Joyah sudah tersedu-sedu.
"Kak Ida, apa yang kak dah buat sampai mak menangis?" Risya mendekati ibunya. Dipujuk ibunya yang sudah menangis teresak-esak.
"Eh eh! Akak tak buat apa pun! Mak ni yang teringat kat abang Man kau tu!" Ida bingkas bangun dan masuk ke dalam bilik.
Risya menggeleng. Sungguh dia tidak faham perangai kedua kakaknya yang cemburukan abang Man. Sejak dulu dia hanya mampu melihat tindakan kak Ida dan Kak Ayu membuli abang Man. Dia tidak berani menolong abang Man yang hanya tahu menurut perintah. Langsung abang Man tidak membantah bila diperlakukan sebegitu.
"Sudahlah mak. Berdoalah semoga raya tahun ni, abang Man balik dan kita gembira menyambut raya bersama, ya mak?" Risya menyapu air mata di pipi ibunya. "Dah..sejam lagi nak masuk waktu berbuka."
Joyah bangun dan beriringan dengan Risya menuju ke dapur dan sama-sama memasak juadah untuk raya esok. Sibuk menyediakan juadah untuk hari raya esok, tidak sedar, waktu berbuka hanya tinggal 15 minit saja lagi. Cepat-cepat Risya menghidang lauk pauk di atas meja makan. Joyah pula menghidang nasi. Ida yang baru menidurkan anak kecilnya kembali ke dapur menolong membancuh air.
"Assalamualaikum!"
|
|
|
|
|
|
|
|
waalaikumussalam..
hari ini iols pakai hijau serindit |
|
|
|
|
|
|
|
Pandai hang cari muka seiras selepas transform tu
kat kg i pun ada story mcm ni... akhirnya kahwin. Kahwin pun umur dah cecah 40... tak kesahlah... sekarang ada anak 2... syukur.
|
|
|
|
|
|
|
|
Alaaaa... nak sambungan lagiii... untungla rozy berubah jadi kacak ala2 syarul ridzwan tue.. huhu... mek Sheera haku tue jenuh nak buang silikon bukit selambak dia tue.. haha!
|
|
|
|
|
|
|
|
Sama khen?
Kawan den pun ada sorang gini. Kisahnya adik-beradik tujuh orang, semuanya lelaki. Maknya pulak teringin sesangat anak pompuan. Makanya...
Walaupun nampak bapuk, tapi dia tulen. Aweknya muda belia dan kawan iols skang tgh odisyen TARA Asia 5.
|
|
|
|
|
|
|
|
"Sya, cuba jenguk, siapa yang bagi salam tu?" Joyah cuit lengan Risya.
"Ish! Dah dekat nak berbuka ni mak. Entah-entah hantu tak mak?" Risya teragak-agak.
"Assalamualaikum!!"
"Kau ni Sya! bulan puasa ni mana ada hantu! Dah! pergi tengok siapa!" Joyah tolak tubuh Risya ke depan.
"Entah-entah abang Kamal tak?" Risya jeling kak Ida.
"Tak ada maknanya abang Kamal, dia dah setengah jam balik tadi. Kau jangan nak kata hantu pulak Sya!" Ida mencebik.
Dengan muka muncung, Risya menghentak kakinya melangkah ke ruang depan pintu rumah. Mulut tak henti membebel. Langkahnya terhenti. Kaku, bagai dipaku di depan pintu yang sudah dibuka. Tidak berkedip mata memandang ke arah laman rumah. Tepatnya di anak tangga rumah. Berkali-kali dia menggenyeh mata.
"Betul ke apa yang aku tengok ni?" Risya genyeh lagi matanya. terjebil-kebil. Wajah lelaki yang mirip pelakon Shaharul Rizwan itu dipandang tidak berkelip. "Awak cari siapa?"
"Sya..ni abang. Abang Man.." Rozman mengukir senyuman manis. Terubat rindu melihat adik bongsunya yang sudah dewasa. Manis dan ayu.
"Abang Man??" Risya sudah berkedut seribu dahinya. Terkebil-kebil lagi di muka pintu.
"Ya Sya..abang Man. Abang dah balik Sya.." Rozman membuka kasut dan menapak anak tangga mendekati Risya. "Sya sihat?"
Risya masih tidak percaya apa yang dilihatnya sekarang ini. Lelaki yang memakai seluar jeans dan kemeja T dengan sedikit misai itu begitu kacak pada pandangan matanya. Kalau abang Rozman, rasanya jauh bezanya dari lelaki yang berdiri di depannya sekarang ini. "Kau pelakon kan??"
"Pelakon?" Rozman terkejut kemudian dia ketawa kecil. "Sya..Sya..ini abang la. Abang Rozman, abang Sya. Mana mak?" Tanpa hiraukan Risya yang masih terpinga-pinga di situ, Rozman segera menapak ke ruang dapur. Dia tahu tentu mereka berada di dapur waktu begini. Hanya menunggu masa untuk berbuka.
Risya turut membuntuti Rozman yang sudah menuju ke dapur.
"Assalamualaikum mak!" Rozman merapati ibunya yang sedang membelakanginya di singki. Tubuh ibunya dipeluk dari belakang dengan linangan air mata.
"Kau ke Man?" Ida yang membuntang melihat dari tadi Rozman yang sedang menapak ke arah ibunya, hampir tidak percaya perubahan adik lelakinya itu.
Rozman tidak hiraukan kakaknya. Dia raih tangan ibunya dan mencium lama. Menitis air mata lelakinya meminta ampun dan maaf.
Joyah tidak dapat menahan sebak. Tiada suara yang keluar. Hanya air mata yang menemaninya ketika ini. Tubuh Rozman dipeluk erat. Teresak-esak menangis dalam pelukan Rozman.
"Mak..ampunkan Man mak. Man dah balik.." Sekali lagi Rozman mengucup tangan ibunya.
"Man..anak mak. Mak tahu, satu hari Man akan balik. Mak tak pernah jemu berdoa pada Allah. Alhamdulilah, Allah makbulkan doa mak." Joyah pegang kedua pipi anaknya yang tinggi lampai, terdongak dia memandang wajah Rozman yang putih bersih.
"Ya mak..alhamdulillah.." Rozman mengangguk.
Buat pertama kali di petang hari terakhir puasa itu, mereka sekeluarga berbuka bersama. Hanya Ayu saja yang tiada ketika ini. Joyah pula, sudah terasa kenyang melihat wajah Rozman di meja makan itu. Hanya Allah yang tahu perasaannya ketika ini. Usai berbuka, mereka sama-sama menunaikan solat maghrib dengan Rozman menjadi imam dan sama-sama juga mereka bertakbir raya.
"Mak...man minta ampun dan maaf sekali lagi mak." Rozman mengucup tangan ibunya usai selesai berdoa.
"Kak..saya minta maaf kalau saya ada buat salah pada kak Ida.." Rozman meraih pula tangan kakaknya.
"Man, patutnya akaklah yang minta maaf kat kau. Akak dan kak Ayulah yang selalu buli kau dulu sampai kau bawa diri macam ni..maafkan akak ya Man." Mengalir juga air mata Ida saat melihat Rozman yang sudah jauh berubah. Dia jeling pada suaminya di sebelah Rozman. "Bang, ni satu-satunya adik lelaki saya.."
"Man..syukurlah kau dah kembali.." Kamal turut menepuk bahu Rozman. Selama ini dia tidak pernah tahu tentang Rozman. Ida tidak pernah bercerita pasal adik lelakinya itu.
Rozman hanya mengangguk. "Kak Ayu mana?"
"Esok pagi baru dia sampai." Risya mencelah.
MALAM ITU, mereka ke surau menunaikan solat Isyak berjemaah. Rozman pula masih di surau bersembang dengan imam dan penduduk kampung yang lain yang rata-ratanya senang dengan perubahan dan kembalinya ke kampung semula. Hampir tengah malam, baru Rozman pulang ke rumah selepas menikmati rojak buah di warung Pak Akob tidak jauh dari surau.
"Kau Rozman kan?"
Langkah Rozman terhenti. Dia pandang tiga lelaki yang berdiri di depannya. Salah seorang lelaki itu seperti pernah dia nampak dulu.Dia cuba mengingati wajah yang sedang tersenyum sinis padanya sambil memegang batang kayu.
"Oh jadi, kau yang jadi penyangak?" Kali ini baru Rozman ingat. Lelaki itulah yang cuba meragut beg tangan Suzy dulu. Tidak sangka, lelaki itu juga satu kampung dengannya.
"Pandai pun kau! Aku ingat pondan macam kau ni hanya tahu taruk bedak je. pandai bergaduh rupanya..hahahahah!!" Kata-kata sinis dilemparkan pada Rozman dengan gelak ketawa yang disambut oleh kawan-kawannya.
"Aku pun tak sangka, rupanya ada penyangak dari kampung ni yang berlagak samseng di tempat orang! Puih!!" Rozman meludah.
Tanpa sempat Rozman meneruskan kata-katanya lagi, lelaki itu bersama dua lagi rakannya sudah menyerang Rozman. Tiga lawan satu. Bersungguh Rozman melawan, langakh taekwando yang masih diingatinya ketika belajar di sekolah dulu digunakan sepenuhnya untuk melawan. Banyak kali lawannya rebah.
Buk!!! Satu hentakan kuat terkena kepala Rozman.
"Puas hati aku!! Jom blah!!"
Mata berpinar. Dengan pandangan mata yang kabur itu, ketiga lelaki itu masih dapat dilihat walaupun samar-samar. Mereka sudah cabut lari dari situ, hilang dalam kegelapan malam. Darah pekat mengalir perlahan dari kepala. Mata yang kabur tadi perlahan menjadi gelap.
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|