Algiers: Seorang lelaki Algeria yang hilang selama 26 tahun, baru-baru ini, ditemukan ditawan oleh jirannya di lokasi terletak hanya beberapa minit dari rumahnya. Omar B ditemukan di rumah jirannya, hanya beberapa minit berjalan kaki dari rumahnya sendiri, selepas mangsa hilang selama 26 tahun. Dia dilaporkan hilang ketika berusia 19 tahun semasa Perang Saudara Algeria pada 1998, dan keluarganya menganggap bahawa dia diculik atau dibunuh. Kini pada usia 45 tahun, dia ditemukan dalam tumpukan jerami kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya di bandar Djelfa. Rakaman yang mengejutkan menunjukkan Omar dibantu keluar dari bilik bawah tanah yang dilitupi jerami di mana dia ditawan sejak 1998. Dia ditemukan selepas abang penculik dilaporkan menyiarkan maklumat penculikan itu di media sosial, berikutan pertikaian harta pusaka.
Pelaku yang didakwa ialah pengawal keselamatan berusia 61 tahun di bandar El Guedid berhampiran, dan sudah ditahan reman selepas cuba melarikan diri dari tempat kejadian. Suspek dikatakan tinggal bersendirian, dan bekerja sebagai penjawat awam. Media sejak itu melaporkan bahawa Omar B merasakan dia tidak boleh bercakap mengenai apa yang sudah dilakukan oleh penculiknya, kerana 'jampi' ke atasnya. Kementerian kehakiman negara itu berkata, siasatan sedang dijalankan. Tambah mereka, mangsa sedang menerima rawatan perubatan dan psikologi selepas dikenakan jenayah yang disifatkan sebagai 'keji'. Sumber ; Harian Metro |
Sumber ; Harian Metro
ADVERTISEMENT