CHEF MATTEO BOGLIONE diminta oleh pelanggannya untuk menghasilkan lebih banyak menu vegetarian di cawangan baharu restoran mewah, Le Cirque Signature di Mumbai, India. Disebabkan itu, restoran yang terkenal dengan menu seperti stik T-Bone Florentine turut menawarkan hidangan baharu seperti cauliflower flan bersama porcini dan avocado panzanella, daging fondu mozzarella dan kulat hitam truffle pada harga yang lebih berpatutan. Hidangan vegetarian itu diletakkan pada harga antara 1,250 rupee (RM66) berbanding menu mewah, stik T-Bone Florentine iaitu AS$130 (RM426). Restoran berpangkalan di New York, Amerika Syarikat itu beroperasi di hotel terkemuka India, Leela Mumbai. Ia antara premis makanan mewah yang kini membanjiri negara kelahiran Mahatma Ghandi itu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membuka restoran mewah antarabangsa menjadi trend di India seperti yang berlaku di Dubai dan Hong Kong. Lokasi baharu Banyak restoran mewah memberikan tumpuan kepada India sebagai lokasi baharu. Ia berikutan jumlah kekayaan isi rumah India yang meningkat RM6.56 trilion dalam masa lima tahun kebelakangan ini. Berdasarkan kenyataan Boston Consulting Group, ia dijangka meningkat kepada RM14.77 trilion pada 2017. Cawangan jenama antarabangsa lain seperti Hakkasan, restoran makanan Cina dari London, England dibuka pada 2011 dan restoran Yauatcha yang popular dalam kalangan elit Mumbai, bakal dibuka di empat lokasi baharu di India. Tahun lepas, restoran dari Sepanyol, Arola dibuka di Hotel JW Marriott, Mumbai. Namun begitu, ia berdepan dengan beberapa cabaran dalam menghidangkan menu signatur tetapi pada masa sama, menuruti permintaan sesetengah pelanggan yang berpegang kepada tradisi dan agama. Sebilangan pengunjung India merupakan vegetarian dan tidak memakan daging lembu atas sebab tuntutan agama. Selain itu, kebanyakan ramuan diimport menyebabkan kos harga naik mendadak. Sensitif harga Dalam pada itu, wartawan Vir Sanghvi menyatakan, sebilangan pengguna India menolak untuk berbelanja secara mewah kerana telah imun dengan budaya restoran antarabangsa. Ia menjadikan India sebagai pasaran yang sensitif harga. Restoran Le Cirque dibuka pada 1974 oleh Sirio Maccioni dan kini diselenggarakan oleh anaknya, Mario. Rantaian restoran mewah di India memilih untuk membuka premis di hotel yang menjadikannya sebagai francais dengan menampung keseluruhan kos. Restoran itu juga tidak sukar mendapatkan pelanggan kerana sudah sedia ada peminat tersendiri. Pembukaan restoran tersebut dilihat menjadi faktor penting dalam perniagaan hotel. Berdasarkan rekod buruk restoran-restoran Perancis yang banyak menghidangkan menu daging, Le Cirque di India mengambil langkah selamat dengan menekankan menu ala Itali. "Restoran ala Perancis berdepan pelbagai masalah. Kami tidak mahu berada dalam kategori tersebut," ujar Presiden The Leela Palaces, Hotels and Resorts, Rajiv Kaul. Bulan hadapan, satu lagi cawangan Le Cirque akan dibuka di Bangalore. Restoran termahal Cawangan restoran itu di New Delhi yang dibuka pada tahun 2011, menawarkan menu signatur pada harga antara RM265 hingga RM318 seorang. Ia menjadikan Le Cirque sebagai antara restoran termahal di India dengan jumlah keuntungan sebanyak RM530,730 sebulan. Sebuah lagi restoran import di hotel itu di New Delhi ialah restoran Jepun dari New York, Megu. Restoran berkenaan turut mengimport sebahagian bahan-bahan asas dari luar negara. Kaul menjangkakan jumlah perbelanjaan di Le Cirque Mumbai adalah 20 peratus lebih rendah dari New Delhi. Saiz restoran juga kecil dan tidak terlalu formal jika dibandingkan dengan cawangan di New Delhi. Ia disebabkan kebanyakan pelanggan lebih gemar membelanjakan wang untuk membeli wain mahal. Bagi Boglione, 38, memasak untuk pelanggan India bermakna dia perlu menghidangkan menu yang lebih vegetarian, tidak seperti yang biasa dilakukan oleh jejaka dari Florence, Itali itu. Malah dia merancang untuk menggunakan bahan-bahan yang sukar dicari seperti cendawan porcini dan ubi bit kuning. "Dengan menggunakan sayur-sayuran, anda akan menghasilkan hidangan-hidangan yang menarik," ujarnya.
|
zainmahmud posted on 8-1-2014 09:51 AM
Restoran2 begini mengaut untung berlipat ganda. Pemilik restoran mcm ni tak rasa bersalah ke mengetu ...
Juadah posted on 8-1-2014 04:04 PM
Kos bahan mentah memang tak tinggi mana (kalu beli pukal) tp restoran mewah ni ada kos2 lain yg pe ...
ADVERTISEMENT