20 individu termasuk enam wanita dan lima kanak-kanak ditahan dalam Ops Gasak 2 di Pulau Kalapuan, Semporna oleh pihak keselamatan khas pantai timur Sabah, Esscom. Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan empat bulan hingga 50 tahun ditahan pada operasi pada awal pagi hingga petang, semalam. Hasil pemeriksaan kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah. Ops Gasak 2 bertujuan untuk pencegahan dan pembersihan kawasan dari penceroboh dan penjenayah termasuk aktiviti dadah. Operasi tertumpu kepada pemeriksaan dari rumah ke rumah. Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama penduduk di kawasan terbabit supaya melaporkan kehadiran pendatang tanpa izin atau mereka yang dalam keadaan meragukan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang memberi perlindungan kepada Pati termasuk yang menyewakan rumah. Ops Gasak 2 susulan kepada Ops Gasak 1 pada 24 November lalu yang mensasarkan empat pulau iaitu Pulau Pom Pom, Mataking, Mabul dan Kapalai.
|
ADVERTISEMENT