KUALA LUMPUR - Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengibaratkan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti seorang Chess Grandmaster.
Menurutnya, Najib yang juga Perdana Menteri berani membawa perubahan dengan cara sendiri tanpa meletakkan Malaysia pada paras bahaya.
"Saya berpendapat YAB Datuk Seri Najib boleh diumpamakan sebagai seorang Chess Grandmaster.
"Beliau faham mana tindakan yang mustahak dan mana yang sampingan. Beliau sabar menunggu masa yang tepat untuk membuat keputusan dan ambil tindakan bijak untuk 'checkmate'," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita pada Perhimpunan Agung Umno 2013, hari ini.
Katanya, Malaysia bertuah mendapat seoang pemimpin yang sentiasa berusaha membawa transformasi kepada parti dan negara.
"Beliau mempunyai keyakinan diri sebab itu beliau tidak teragak-agak 'to concede a Pawn in order to gain Bishop'. Dalam permainan Chess, Grandmaster tak cakap banyak sebab tindakannya lebih lantang daripada kata-katanya.
"Alhamdulillah, Malaysia bertuah mendapat seorang pemimpin yang stabil dan realistik. Beliau bukan seperti tin kosong yang tergolek-golek bising berdering," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan parti pembangkang supaya tidak terlalu ghairah dalam cara politik yang membawa ke arah kehancuran negara.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|