Kuala Terengganu, 3 Disember : Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melakukan penjenamaan semula industri keropok di negeri ini secara berperingkat bagi membolehkan produk itu berdaya saing dan mampu menembusi pasaran lebih luas. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Razali Adis berkata, sebagai projek perintis, pengusaha keropok lekor di Kampung Losong di sini, sudah melalui fasa penjenamaan semula sejak 2005. Menurutnya, penjenamaan kepada TLekor memberi nafas baru kepada 14 pengusaha keropok lekor yang aktif di kampung itu untuk bersaing dan mengetengahkan produk masing-masing. “Kita mempunyai unit pembungkusan, pelabelan produk, jadi dengan kepakaran yang ada satu transformasi penjenamaan sudah dilakukan sejak lapan tahun lalu. “Pengusaha diperkenalkan dengan wajah baru antaranya papan tanda kedai, beg plastik dan kertas pembungkusan yang tertera label TLekor yang lebih menarik dan seragam,” katanya. Menurutnya, penjenamaan adalah aspek penting dalam perniagaan, justeru, kerajaan negeri melalui YPU dan agensi lain berperanan membantu usahawan di negeri ini meningkatkan produktiviti dan imej sesuatu perusahaan. Katanya, penjenamaan menarik dan persekitaran perusahaan bersih mampu menarik pengunjung dalam dan luar negeri untuk terus bertandang selain menjadikan produk hasil laut itu sebagai buah tangan mereka. Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga sering menjalankan program mempromosikan makanan tradisional Terengganu termasuk produk keropok lekor dalam membantu usahawan berkaitan. “YPU mempunyai kepakaran dalam melakukan reka bentuk penjenamaan produk sama ada idea itu daripada kakitangan YPU atau pemilik usahawan dan ia bergantung kepada kesepakatan bersama. “Usaha terbaru YPU kini adalah membantu dalam aspek penjenamaan perusahaan keropok kering di Kampung Pengkalan Setar yang mempunyai 49 pengusaha aktif. “Perusahaan keropok kering adalah satu cabang dalam perusahaan keropok kerana ia menggunakan bahan asas yang sama dan hasilnya hanya diterjemah dalam bentuk berlainan,” katanya.
|
ADVERTISEMENT