Gambar hiasan
MARANG - Hasrat seorang pelajar menghabiskan cuti persekolahan dengan menahan pukat untuk menangkap ikan berakhir dengan tragedi setelah ditemui lemas di dalam bendang di Kampung Baruh, di sini.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi hari ini ketika Mohammad Ikram Kassim, 13, pergi ke bendang itu untuk mengangkat pukat yang dipasangnya petang semalam.
Bapa pelajar itu, Kassim Mohd Adam, 57, berkata, anaknya keluar untuk melihat hasil tangkapannya pagi ini bersama-sama dua lagi rakannya.
Ketika sedang mengangkat pukat yang telah dipasang, anak keenam daripada tujuh beradik itu diserang penyakit sawan dan rebah ke dalam bendang yang dipenuhi air.
"Anak saya sanggup berjalan kaki kira-kira satu kilometer dari rumah untuk menangkap ikan, biasanya saya juga akan mengikut anak menahan pukat di bendang.
"Namun tahun ini saya tidak berkesempatan berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya tengah hari ini.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|