Jika ikutkan, kehidupan penyanyi dan pelakon, Alvin Chong, 30, cukup dekat dengan masyarakat Melayu. Bukan sahaja selesa berkawan dengan orang Melayu, malah memilih berada di pasaran Melayu untuk anjakan kerjaya lakonan dan nyanyiannya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Sayang Salmah belum terfikir akan memilih bangsa calon jodohnya, biarpun pernah digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan gadis Melayu. Secara jujurnya, Alvin mengakui, dia belum berfikir sejauh itu. "Bercakap soal kahwin, belum pernah terdetik dalam hati saya mahu berkahwin dengan gadis Cina, India, Melayu, Iban atau sebagainya. Jika saya rasa ada keserasian dengan gadis India sekalipun, saya tidak kisah, jalan sahaja.
"Cuma, sekarang saya tidak fikir banyak soal jodoh. Saya sedar ada tertanya-tanya memandangkan ramai rakan saya di kalangan orang Melayu. Saya juga dilihat cuba menyelami budaya dan adat Melayu. "Saya bersahur, berpuasa, meraikan Aidilfitri dan sebagainya. Ini disebabkan saya menghormati rakan saya yang kebanyakan orang Melayu.
"Saya pun bercakap bahasa Melayu lebih banyak daripada bercakap bahasa Kantonis atau Mandarin. "Jadi, apa sahaja yang dilakukan atas dasar hormat. Saya juga tidak akan melakukan perkara yang tidak sensitif dengan umat Islam," katanya kepada BH Online. Bagaimanapun, Alvin mengakui, tuahnya lebih menyebelahi di pasaran Melayu, apatah lagi, lagu Sayangku Salmah mendapat sambutan baik, malah, menjadi tular di aplikasi TikTok.
Namanya juga membolosi calon awal bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, namun, gagal ke peringkat Top 5. "Saya tak sangka dan tak pernah fikir sebab lagu tidak dimainkan di stesen radio, penstriman pun kurang jika mahu dibandingkan penyanyi lain. "Saya bersyukur pencalonan awal ABPBH 34 menyebabkan orang akan lebih mengenali saya sebagai penyanyi. "Sebelum ini, masih ada yang tidak tahu saya boleh menyanyi. Pencalonan ini juga mungkin membantu orang mendengar lagu-lagu saya," katanya.
Alvin berkata, dia tidak pernah menduga lagu berkenaan mendapat sambutan baik, malah, menjadi tular di aplikasi TikTok. "Lagu Sayangku Salmah antara lagu yang pendengar suka. Mereka tidak menyangka penyanyi berbangsa Cina seperti saya boleh menyanyikan lagu seperti ini. "Jadi, ini adalah karya segar buat pendengar. "Nama Salmah sendiri sangat sinonim dan dekat dalam komuniti Melayu. Saya rasa setiap orang mesti ada kawan atau ahli keluarga bernama Salmah.
Ketika berkongsi lagu Sayangku Salmah dalam aplikasi TikTok, ramai komen dan memberitahu memiliki kawan bernama Salmah," katanya yang mempunyai 1.9 juta pengikut dalam laman popular itu. Penyanyi kelahiran George Town, Pulau Pinang itu berterima kasih kerana pendengar yang menyokong lagu Sayangku Salmah. "Saya kini sedang mencari lagu bergenre seperti ini untuk dijadikan single seterusnya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Alvin berkata, jadual lakonannya penuh sehingga tahun hadapan selepas beberapa bulan penggambaran tidak dapat dijalankan. "Syukur, sekiranya semua berjalan lancar. Jadual saya penuh sehingga tahun hadapan. Saya akan memulakan penggambaran drama pada November ini, kemudian perlu menyelesaikan dua naskhah lagi yang masih tertangguh," kata pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|