Selepas beberapa hari enam tahanan Palestin berjaya meloloskan diri dari penjara Israel dengan mengorek lubang menggunakan sudu, penduduk Palestin malah di kebanyakan negara di Asia Barat masih meraikan kejayaan tahanan berkenaan.
Tanda pagar ‘the miraculous spoon’ (sudu ajaib) berterusan menjadi sebutan orang ramai sebagai simbol perjuangan Palestin. Malah, sudu kini diletakkan di samping bendera Palestin sebagai simbol baharu ‘kebebasan’ Palestin yang sekian lama dijajah rejim Zionis. Tindakan itu sebagai menghargai dan rasa bangga terhadap enam tahanan Palestin yang berjaya memboloskan diri dari Penjara Gilbao, Israel, hanya ‘bersenjatakan’ sudu. Keenam-enam mereka melarikan diri melalui terowong yang dikorek pada 6 September lalu. Roslan Mahajana, peguam kepada salah seorang tahanan yang ditangkap semula memberitahu AFP, anak guamnya, Mahmud Abdullah Ardah me-ngatakan dia menggunakan sudu, piring dan tempat pegang cerek untuk menggali terowong. Menurut Roslan, anak guamnya mula mengorek lubang pada Disember lalu. Seorang penulis, Sari Orabi berkata, dengan tekad hanya menggunakan sudu, orang Palestin boleh melarikan diri manakala musuh pula tidak mustahil dapat ‘dipenjarakan’ selepas ini. Kartunis Palestin, Mohammed Sabaaneh pula berkata, kejayaan tahanan terbabit mendedahkan sistem keselamatan Israel menjadi bahan ejekan. Dia telah membuat beberapa lukisan yang memaparkan perkakas, termasuk lukisan berjudul ‘Terowong Kebebasan’. Bukan sahaja di Palestin, isu tersebut mencetuskan kekaguman penduduk di luar dengan sudu dibawa ketika demonstrasi menyokong tahanan berkenaan. Di Kuwait, pengukir, Maitham Abdal mengukir tangan dengan kuat menggenggam sudu yang digelarnya ‘sudu kebebasan’. Begitu juga pereka grafik di Amman, Raed al-Qatnani menghasilkan imej siluet jambatan ke arah kebebasan menggunakan subjek sudu. Di Tulkarem, sebuah kota di Tebing Barat yang dijajah oleh Israel sejak 1967, kejayaan tahanan terbabit membawa kembali kenangan bagi Ghassan Mahdawi. Dia dan seorang banduan lain melarikan diri dari penjara Israel pada 1996 melalui terowong yang digali menggunakan paku. Dia ditangkap kerana menyertai kumpulan bersenjata semasa intifada pertama, yang berlangsung hingga awal 1990-an. “Melarikan diri dari penjara Israel adalah sesuatu yang difikirkan oleh tahanan. Melakukannya dengan sudu, ia cukup bersejarah,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT