Kira-kira 40 tahun dari sekarang, Bahasa Melayu mungkin perlu diajar menggunakan Bahasa Inggeris. Demikian senario yang mungkin berlaku, menurut pakar bahasa, Dr Mohamed Aidil Subhan semasa menyampaikan ceramah dalam Siri Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu sempena Bulan Bahasa.
Berita Mediacorp melaporkan, dalam ceramah tersebut, Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NTU-NIE) itu menyampaikan topik ‘Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong – Perspektif Perancangan Bahasa Melayu di Singapura Menjelang 2065’. Beliau juga meluahkan keprihatinan tentang penggunaan bahasa Melayu yang semakin kurang menjadi bahasa utama dalam keluarga Melayu.
Menggunakan data Banci Penduduk, Mohamed Aidil berkata, pada 1980 lebih 97 peratus keluarga Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah. Bagaimanapun, 40 tahun selepas itu, banci tersebut mendapati bilangannya menjunam kepada sekitar 60 peratus pada 2020, dengan Bahasa Inggeris sebaliknya terus semakin dominan dalam rumah Melayu. “Perlu ada perubahan dalam cara kita mengajar. Sekarang kita mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu. “Mungkin menjelang 2065, kita perlu mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa lazim pelajar. Sebab Bahasa Melayu mungkin tidak akan lagi menjadi bahasa lazim para pelajar semasa di rumah," katanya. Menurut beliau, perancangan Bahasa Melayu dari segi pendidikan sudahpun dilaksanakan pemerintah dan sekolah-sekolah menerusi pelbagai kempen dan pendidikan. Jurang di luar domain pendidikan perlu diisi pula oleh ibu bapa, katanya. Ibu bapa juga memikul tanggungjawab untuk mencegah unjuran tersebut daripada menjadi kenyataan. Dalam hal itu, beliau berkata, ibu bapa perlu menggunakan domain di rumah sebagai ruang untuk penggunaan bahasa Melayu. Dalam ceramahnya itu, beliau menceritakan satu pengalaman peribadi bagi memaparkan betapa penggunaan bahasa di rumah berperanan mendidik anak kecil tentang penggunaan dan kosa kata bahasa Melayu. “Saya ingat, saya pergi ke sebuah sekolah, ada pelajar cakap dengan cikgunya: ‘Cikgu saya tidak dapat habiskan kerja rumah’. Cikgunya tanya kenapa. Dia kata: ‘Saya tolong atuk saya sental bilik air’. “Saya bila dengar ‘sental bilik air’, saya rasa syahdu. Sebab istilah sental itu, sudah tidak ada orang lagi gunakan,” katanya. Dalam pada itu, beliau juga menegaskan, masyarakat perlu faham bahawa Bahasa Melayu, juga sudah melalui evolusi yang pesat. Katanya, masyarakat perlu mengenal pasti perancangan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ibunda, serta bahasa warisan. Beliau turut menyarankan pembentukan satu jawatankuasa untuk membincangkan istilah baru dalam bahasa Melayu di Singapura. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT