Penyanyi dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, 43, menyeru Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menyalurkan mesej lagu Harapan bersempena kempen Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia kepada khalayak.
Menurut Sarimah yang juga penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Malaysia dan selaku Pengasas Bersama dan Duta Kempen #StandForHOPE, lagu itu dilihat mampu menjadi pemangkin harapan, inspirasi dan semangat kepada mereka yang sedang dalam kebuntuan serta permasalahan emosi supaya tidak berputus asa dalam kehidupan.
“Mungkin kalau KJ tidak keberatan untuk mengetengahkan lagu ini sebagai tanda sokongan inisiatif Yayasan ZuriatCare dan Awareness Against Suicide dalam memberi kesedaran kepada rakyat pentingnya prihatin dan bertindak dalam mencegah tingkah laku bunuh diri. “Tanpa kesihatan mental, tiada kesihatan rakyat dan negara. Kita tidak boleh menafikan bahawa harapan merupakan salah satu elemen penting bagi mereka yang sedang melalui fasa penyembuhan dalam kehidupan. “Justeru, ambil tahu dan ambil berat tentang perasaan termasuk keadaan emosi rakan-rakan, ahli keluarga serta jiran kita sama-sama dapat membantu sekali gus mencegah terjadinya sesuatu yang akan dikesali dan lebih menyedihkan kelak,” ujarnya. Sebagai informasi, lagu genre Pop R&B dan muzik video Harapan merupakan hasil ciptaan Damian Mikhail serta duet bersama Sarimah. Lirik lagu tersebut padat dengan mesej positif dan bertepatan dengan perjuangan berkaitan kempen pencegahan dan hindari bunuh diri iaitu menghapuskan stigma dan memberi sokongan emosi kepada individu yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan mental yang menjurus kepada pemikiran dan tingkah laku bunuh diri serta yang telah terkesan akibat kematian insan tersayang yang Meninggal dunia Akibat Bunuh Diri (MABD). Sumber: Utusan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|