"Tolong selamatkan bayi saya," itu permintaan seorang pesakit Covid-19 kepada Dr Tan Boey Warn, pegawai perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU), Jabatan Perubatan Anestesiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.
Sehingga kini, Dr Tan, 33, tidak dapat melupakan kata-kata pesakitnya itu yang diungkapkan sebelum ditidurkan atau diintubasi. Meskipun sudah biasa mengendalikan prosedur itu, Dr Tan mengakui sebak melihat harapan pesakit terbabit yang mahu melihat bayinya selamat walaupun sedang bertarung nyawa. "Pesakit itu sedang hamil anak kedua dan mengalami Covid-19 yang serius, malah dia sendiri meminta bantuan pernafasan kerana sudah tidak berupaya untuk bernafas dengan baik.
"Keadaan paru-parunya juga agak teruk dan cara pengendalian pesakit itu agak berbeza kerana keadaannya yang hamil. "Jadi, saya perlu mengeluarkan bayi dalam kandungannya dahulu sebelum meniarapkan badannya untuk diintubasi," katanya. Sebelum menjalankan prosedur intubasi, Dr Tan berkata, dia perlu menenangkan pesakit dan tugas itu bermain dengan emosi. "Jika pesakit itu Muslim, saya minta mereka berselawat dan membaca doa sebelum diintubasi. "Begitu juga dengan pesakit yang menganut agama lain, saya akan beri semangat dan minta lakukan perkara sama (berdoa)," katanya yang mempunyai sembilan tahun pengalaman sebagai pegawai perubatan dengan enam tahun dalam bidang anestesiologi. Menyedari keresahan keluarga terhadap keadaan pesakit Covid-19, Dr Tan meminta semua pihak memahami dan menaruh keyakinan terhadap pegawai perubatan dan petugas kesihatan. "Saya mohon pengertian masyarakat dengan kekangan serta kesibukan kami terutama yang bertugas di ICU. "Keadaan dalam wad ICU Covid-19 sama sahaja, malah kami seperti angkasawan kerana perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap. "Jadi, jika mereka tidak dapat menghubungi wad, bersangka baiklah kerana kita bukan enggan berkongsi perkembangan terkini tetapi ada kalanya tiada masa menjawab panggilan telefon," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT