Ketika ini, tidak dinafikan industri hiburan terutama bidang lakonan semakin meriah menerima kemunculan pelakon-pelakon baharu untuk memainkan peranan utama.
Malah, ada segelintir daripada bakat baharu yang mendapat peluang untuk menjadi pelakon ini terpilih daripada kalangan 'influencer' atau pempengaruh yang kebanyakan mereka mempunyai ramai pengikut di media sosial. Apapun, yang pasti pelakon berpengalaman seperti Fizo Omar, 36, tetap mampu terus menyerlahkan bakat lakonannya meskipun boleh dianggap sebagai kemunculan semula. Fizo yang mula aktif berlakon drama pada 2008 seakan 'menghentikan seketika' kerancakan kerjaya seninya pada 2015 kerana mula memberi fokus kepada bisnes diusahakannya. Malah, dia juga ada kala hanya muncul dalam program televisyen.
Namun, pada 2019 lalu, bapa tunggal kepada seorang anak ini dilihat mula mengatur kembali langkahnya dalam lakonan apabila membintangi beberapa drama popular seperti Setelah Cinta Itu Pergi, Bukan Cinta Aku dan Adellea Sofea. Mengulasnya, Fizo atau nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar berkata, dia tidak pernah memilih watak, tetapi bersyukur dengan rezeki Allah apabila ditawarkan karakter yang sesuai serta naskhah drama terbaik. Malah, masih ada penonton yang mahu menonton lakonannya.
"Pada ketika saya merancang hendak aktif berlakon semula, memang tak sangka Allah makbulkan dengan memberi rezeki tawaran drama untuk dibintangi walaupun saya juga sibuk dengan komitmen lain terutama perniagaan yang diusahakan. "Saya akui tidak boleh fokus pada shooting dan ambil watak utama. Namun, alhamdulillah sehingga sekarang saya banyak mendapat tawaran sebagai watak utama kedua yang sangat membantu untuk saya memantapkan semula bakat lakonan diri. "Ditambah, saya amat bersyukur kerana mendapat naskhah drama yang bagus macam Maaf Tak Indah, Pengantin Satu Malam dan Rindu Awak Separuh Nyawa sebagai 'hero kedua' yang berjaya menerima perhatian baik daripada penonton," katanya.
Fizo berkata, dia memang tidak memilih watak untuk tawaran drama yang diterima. Ujarnya, dia sentiasa yakin dengan rezeki dan enggan bersikap terlalu memilih kerana sebelum ini pernah berehat lama dari kerjaya lakonan. "Semua peluang berlakon yang saya dapat sekarang adalah rezeki dan saya tak memilih sangat pun. Cuma, saya hanya melihat pada watak yang sesuai. Apatah lagi, saya sudah lama tidak aktif berlakon, jadi teknik lakonan itu kena asah semula. "Bagaimanapun, alhamdulillah tawaran berlakon yang saya terima kebanyakannya relevan dan sesuai dengan diri saya serta kehendak masyarakat. Justeru, saya rasa ia rezeki buat saya dan satu rahmat daripada Allah untuk kemunculan semula ini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Fizo berkata, dia kini teruja untuk kembali ke lokasi penggambaran semula kerana sudah ada beberapa projek drama akan dibintangi. Katanya, insya-Allah jika masih ada rezeki dia mempunyai empat projek drama tertangguh. Menurut Fizo, biarpun pendapatannya ada yang terjejas tetapi, dia tetap bersyukur kerana rezeki buat keluarga masih Allah beri dalam perniagaan. Selain itu, katanya dia juga akan terbabit dalam program televisyen sebagai pengacara. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|