Sebuah video memaparkan perbuatan dua anggota polis mengejek dan memperlekehkan pekerjaan tukang sapu akhirnya memakan diri apabila mereka menerima hukuman yang kemudiannya menjadi tontonan ramai, lapor laman Merdeka.com semalam.
Menerusi video tular itu, seorang anggota polis memuat naik kandungan di aplikasi sosial TikTok dan memperlekehkan pekerjaan tukang sapu sampah. “Jika mahu online atau apa-apa sekali pun, yang penting selepas habis belajar saya tidak akan menjadi tukang sapu,” katanya dalam video itu. Netizen yang menonton video tersebut meninggalkan komen dan menggelar lelaki itu sombong dan menjatuhkan nama polis.
“Jangan terlalu berlebihan ketika bercakap, jaga percakapan itu,” tulis seorang netizen. “Niat anda sangat memalukan. Kasihan rakan-rakan polis lain yang bagus, jangan kerana kenyataan anda ini, wujud stigma tidak elok terhadap anggota polis,” tulis seorang lagi netizen. Video tersebut kemudian menjadi tular dan dia bersama si perakam video telah menerima teguran dan disuruh berguling di atas jalan ketika cuaca panas terik dengan disaksikan anggota polis lain. Insiden itu kemudian dirakam oleh seorang anggota polis lain yang kemudian memuat naiknya di media sosial. Selepas menerima hukuman, perakam video itu memohon maaf. Dia juga berkata video tersebut hanyalah sebagai koleksi peribadinya sahaja dan tidak berniat untuk menyindir sesiapa. “Saya minta maaf atas perbuatan kami dan tidak bermaksud untuk menyindir sesiapa pun. Video itu hanyalah untuk koleksi peribadi dan saya memohon maaf, terima kasih,” ujarnya. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT