Inisiatif murni penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha yang bertugas sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) nampaknya tidak disenangi semua pihak.
Daiyan dalam satu pendedahannya mengakui, perkara tersebut disedari apabila terdapat individu yang sengaja menimbulkan isu negatif dengan mendakwa dia hanya datang ke PPV untuk bergambar dan sekadar bertugas selama 15 minit sebelum pulang. “Baru-baru ini saya dituduh oleh seorang individu dalam Twitter. Ciapannya telah diulang ciap sebanyak lebih 4,000 kali sebelum dipadam. Tetapi ciapannya telah mengundang banyak tuduhan dan fitnah terhadap saya dan kerja sukarelawan saya di PPV. “Saya sudah bekerja sukarela selama beberapa hari, lima hingga 10 jam sehari. Saya tak pernah mengeluh mahupun melakukan apa yang diperkatakan seperti membawa rakan-rakan, juruvideo dan sebagainya,” ujarnya.
Isu berkenaan ditimbulkan seorang pengguna Twitter beberapa hari lalu dengan mendakwa, Daiyan merupakan salah seorang artis yang berbuat demikian sepanjang bergelar sukarelawan.
Dedah pelakon drama Anchor: Projek SPM itu lagi, dia mendapat tahu bahawa pelaku merupakan seorang daripada sukarelawan di PPV yang sama dengannya. “Dia ada bergambar bersama saya tetapi masih menyebar fitnah dengan menjawab ‘ya’ apabila ditanya adakah Daiyan antara artis yang datang hanya untuk sesi bergambar, bersosial dan balik selepas 15 minit bertugas. “Bila saya dituduh dan difitnah seperti ini, tak tahulah nak rasa apa. Bukan saya saja. Malah sebilangan rakan artis yang lain juga. Naratifnya, ini tak patut diterima bulat-bulat terutamanya membabitkan perihal bohong dan fitnah,” katanya. Individu yang telah menimbulkan fitnah terhadapnya bagaimanapun sudah tampil membuat permohonan maaf dan memadam ciapannya. Tambah Daiyan, pada hari pertama bekerja, dia hanya datang seorang diri sebelum mula ditemani pembantu peribadi pada hari kedua dan ketiga atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, pembantu peribadinya bukan sekadar datang untuk menemani tetapi turut menyertai aktiviti sukarelawan di PPV tersebut. “Tolonglah fokus kepada para doktor, petugas barisan hadapan, staf dan sukarelawan lain yang bekerja penat lelah setiap hari. Tolong hargai mereka. Beri mereka perhatian, bukan saya. “Apalah sangat sumbangan kecil saya ini. Cuma maaf, walaupun isu ini nampak remeh, saya terpaksa bersuara kerana ramai bertanya dan telah memperlekeh niat serta integrriti kerja sukarelawan saya,” katanya lagi. Meskipun pada awalnya dia enggan memanjangkan perkara tersebut, namun Daiyan mengakui terpaksa bersuara demi membersihkan namanya yang sudah tercalar dek perbuatan individu terbabit.
“Walaupun anda sudah menimbulkan fitnah terhadap saya, terima kasih juga kerana meminta maaf dan memadam ciapan tersebut. Saya harap anda belajar daripada kesilapan. “Kepada yang lain-lain, janganlah terlampau cepat percaya sesuatu tanpa bukti yang sahih. Janglah taksub dengan benda-benda yang menyebarkan kebencian seperti ini. Fikirlah dahulu. Kalau anda masih tak nak percaya saya, terpulang. Tuhan tahu,” katanya. Daiyan mula menjalankan kerja-kerja sukarela di PPV UKM sejak 3 Julai lalu selepas sebulam permohonan dibuat. Selain Daiyan, beberapa selebriti popular seperti Nazim Othman, Nadiya Nissa, Sherry Alhadad, Amelia Henderson, Fizo Omar, Isma Aizal Yusoof, Adam Shahz, Aniq Suhair, Mimi Lana dan Bob Yusof turut bergelar sukarelawan PPV. –CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|