Dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19 banyak mengubah kehidupan pelakon Nabila Huda ke arah yang lebih baik. Cerita Nabila, 37, paling ketara apabila dia mula mendekatkan diri dengan agama selain melaksanakan tugas sebagai isteri dan ibu di rumah dengan sempurna.
"Sepanjang PKP yang hampir memasuki dua tahun ni kadang-kadang rasa stress, tak bebas dan hidup dalam ketakutan. "Tapi dalam masa dua tahun ni juga terlalu banyak benda berubah dalam hidup... saya berubah ke arah kebaikan. "Tingkah laku berubah, cara hidup berubah, saya banyak luangkan masa dengan keluarga dan semakin rapat dengan mereka," ujarnya kepada mStar.
Selain itu menurut Nabila, dia juga sedang cuba memperbaiki hubungannya dengan Penciptanya. "Saya dah belajar mengaji Al-Quran dan baca kitab setiap hari dengan kawan-kawan. Alhamdulillah sekarang dah sampai juzuk empat. "Bukan tu saja, saya juga dapat solat dengan sempurna walaupun kadang-kadang tak cukup lima waktu. "Saya masih berusaha untuk buat dengan baik... tapi sebenarnya saya tak terfikir pun tentang ni," katanya.
Menurut pelakon filem M4M4 ini lagi, dia juga berjaya melakukan tugas harian di rumah seperti mengemas, basuh dan sidai pakaian yang sebelum ini tidak dilakukannya. "Sebelum ini saya boleh masak, tapi susah nak buat kerja-kerja rumah... saya tak pandai. "Tapi syukur sangat-sangat, saya sudah berubah tau!" katanya dengan nada gembira.
Dalam pada itu Nabila menasihatkan orang ramai agar melakukan sesuatu yang bermanfaat di rumah bagi mengelakkan tekanan ketika tempoh PKP sedang dikuatkuasakan di seluruh negara. Katanya laporan berhubung pelbagai tindakan tidak wajar dilakukan termasuk kes bunuh diri akibat tekanan hidup.
"Saya doakan anda dijauhkan daripada kesusahan, sentiasa positif dan elak rasa stress. Cuba lakukan sesuatu yang menggembirakan. "Sabar itu indah, Allah takkan uji sampai kita tak boleh nak tangani," katanya. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|