PASIR GUDANG: Ibarat kais pagi makan pagi apabila sudah keluar bekerja melebihi lima jam, namun, ‘upah’ yang diperoleh hanyalah RM10. Itu situasi yang dialami majoriti pemandu teksi di kawasan bandar raya ini dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Seorang daripadanya, Muhamad Noh Yap Abdullah, 64, memberitahu, dalam keadaan tersebut, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana kudratnya yang semakin berkurangan. Jelasnya, dia juga tidak mampu untuk mencari pekerjaan lain ekoran usianya yang sudah meningkat dan tiada majikan yang mahu menggajikan pekerja warga emas sepertinya. “Kebiasaannya, saya akan keluar pagi, lebih kurang pukul 8 pagi dan meronda-ronda di sekitar bandar raya Pasir Gudang untuk mencari penumpang.
“Namun, tindakan itu hanya akan merugikan kerana membuang minyak, jadi kami lebih banyak berkumpul di kawasan terminal bas di sini dengan harapan ada penumpang. “Paling saya ingat, dalam masa lebih lima jam, hanya dua orang penumpang sahaja dan tambang masing-masing hanyalah RM5, jadi gaji saya pada hari itu hanya RM10,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Tambah bapa kepada lima orang anak itu, dia juga tidak tahu sama ada terdapat keuntungan atau tidak kerana duit tersebut juga digunakan untuk mengisi kembali tangki minyak kenderaannya. Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Md. Ali Hassan, 66, turut berkongsi nasib yang sama, malah, katanya, ada beberapa hari dia hanya keluar bekerja untuk ‘makan angin’ semata-mata. “Kadangkala, ada penumpang, kadangkala tiada langsung. Itu sudah menjadi rutin kami pemandu teksi dalam tempoh PKP ini. “Kami sudah tidak tahu apa lagi yang boleh dibuat untuk mendapatkan pendapatan kerana kudrat yang dimiliki tidak boleh dibandingkan dengan orang muda,” ujarnya yang sudah menjadi pemandu teksi selama lebih 30 tahun.-CARI Sumber: Utusan
|
Skuau replied at 2-7-2021 01:03 PM
depa boleh buat e-hailing sekali ngn teksi tak???(#wa x buat kajian).
Skuau replied at 2-7-2021 01:03 PM
depa boleh buat e-hailing sekali ngn teksi tak???(#wa x buat kajian).
anggeriklatifah replied at 2-7-2021 03:37 PM
boleh je..tapi ikut rate grab punya harga
tapi ramai pemandu teksi taknak
ADVERTISEMENT