KUALA TERENGGANU - Jambatan gantung ikonik atau 'drawbridge' yang pertama seumpamanya di negara akan menjadi mercu tanda baru negeri ini dan melonjakkan sektor pelancongan. Kemudahan yang bernilai mula dibina Januari ini di kawasan Tanjung yang menempatkan projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC). Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek tersebut adalah hasil usahasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kedudukan Terengganu sebagai Gerbang Pelancongan Timur di Semenanjung Malaysia. Menurutnya, proses tender projek tersebut sudah hampir selesai dan akan diumumkan oleh lembaga tender dalam masa terdekat. “Projek ini akan menyambungkan muara utara dan selatan, kita jangkakan ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. “Menariknya jambatan gantung ikonik ini turut dilengkapi dengan kemudahan restoran di atasnya yang boleh memuatkan 200 orang dalam satu masa, ruang pameran dan menara," katanya. Kata Ahmad, reka bentuknya yang boleh dibuka dan ditutup memudahkan laluan kapal,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat di Pusat Dagangan Terengganu di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim. Program Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat peringkat negeri itu adalah sebagai satu wadah bagi pihak ECERDC untuk mendekati rakyat negeri ini secara langsung dan berkongsi maklumat mengenai projek ECER yang telah dilaksanakan di negeri ini sepanjang tempoh lima tahun yang lalu. Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri terharu dengan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion melalui ECERDC bagi melaksanakan 41 projek infrastruktur dan pembangunan modal insan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan Rancangan Malaysia Ke-10. “Hasil pelaksanaan projek dan program tersebut, Terengganu kini sedang mengalami satu transformasi yang amat membanggakan, di mana ia telah berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion sejak penubuhan ECER sehingga kini. “Pelaburan tersebut telah berjaya mewujudkan kira-kira 10,850 peluang pekerjaan untuk rakyat, serta hampir 800 usahawan baru di negeri ini. “Impaknya adalah lebih luas kerana pelaburan tersebut turut menjana kesan limpahan ekonomi dari segi pertumbuhan peluang perniagaan dan keusahawanan sampingan dalam sektor pembinaan, hartanah, logistik, latihan dan pelbagai perkhidmatan profesional yang lain,” katanya.
|
Hasil pelaksanaan projek dan program tersebut, Terengganu kini sedang mengalami satu transformasi yang amat membanggakan, di mana ia telah berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion sejak penubuhan ECER sehingga kini.
“Pelaburan tersebut telah berjaya mewujudkan kira-kira 10,850 peluang pekerjaan untuk rakyat, serta hampir 800 usahawan baru di negeri ini.
ADVERTISEMENT