Kumpulan Voices of Euphonious atau lebih dikenali sebagai V.E mengumumkan pengunduran dua ahli iaitu Damian dan Shah melalui entri di Instragram (IG).
Dengan pengunduran Damian dan Shah, perjuangan kumpulan yang popular dengan lagu Party Like This dan Pop Yeh Yeh akan diteruskan empat anggota lain iaitu Zaf, Cham, Adeep dan Hakim. Entri itu berbunyi: "Notis : Akaun ini bukan lagi IG rasmi untuk V.E 2021. "Damian dan Shah dengan rasminya mengundurkan diri dan bukan lagi ahli VE. "V.E akan buka akaun baharu @_veofficial. Semoga perjuangan diteruskan dan dipermudahkan. "Terus sokong dan doakan yang terbaik," kata kumpulan itu melalui hantaran di akaun IG @voicesofeuphonious.
Sementara itu, Damian ketika dihubungi mengesahkan berundur dari V.E. Mengulas lanjut, Damian atau nama penuh, Damian Mikhail Seet, berkata keputusan itu dibuat demi kebaikan diri dan kumpulan berkenaan. "Saya mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga, perniagaan dan projek saluran YouTube yang akan dilancarkan, tidak lama lagi. "Dalam situasi industri hiburan yang tidak menentu berikutan pandemik COVID-19, saya perlu fikirkan soal masa depan. "Lagipun, saya semakin berusia. Saya ada tempoh setahun untuk aktif sebelum memilih memperlahankan rentak kerjaya seni. "Saya juga perlu adil kepada ahli yang lain. Mungkin mereka ada perancangan lain selepas ini. Saya tidak mahu menjadi halangan terhadap usaha mereka," katanya kepada BH Online.
Ditanya apakah keputusan itu dibuat berikutan berlaku perselisihan faham antara mereka, komposer dan penerbit lagu ini menafikan dakwaan itu. "Kami masih berkawan, malah saya juga sudah menganggap mereka seperti saudara kandung sendiri. "Mereka faham niat saya untuk mengundurkan diri. Kalau boleh, saya memang hendak bersama mereka. Tetapi hendak buat macam mana, jodoh kami tidak panjang," katanya.
Mengenai single baru V.E, Alahai Sayang yang sempat dirakamkan sebelum ini, Damian mengaku kabur dengan nasib lagu berkenaan. "Mengikut perancangan, kami mahu melancarkan lagu dan video muzik serentak. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasrat itu tergendala. "Saya sendiri tidak pasti bila lagu dan video muzik itu akan dilancarkan. "Dengan pengunduran saya dan Shah mungkin akan merumitkan keadaan terutama daripada segi promosi. "Mungkin V.E akan muncul dengan single lain untuk disesuaikan dengan anggota yang kekal," katanya. Tahun lalu, V.E yang ditubuhkan pada 1997, mengumumkan kembali aktif selepas 13 tahun menyepi. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|